EKONOMI

Shopee hubungkan pengguna dengan peniaga luar talian menerusi ciri ‘Deals Near Me’

14/04/2021 10:12 PM

KUALA LUMPUR, 14 April -- Platform beli-belah dalam talian Shopee membangunkan ciri baharu ‘Deals Near Me’ pada dompet mudah alihnya ShopeePay untuk menghubungkan pengguna dengan peniaga luar talian.

Ketua ShopeePay Malaysia Alain Yee berkata ciri itu menawarkan ciri dalam talian kepada luar talian menerusi perkhidmatan berasaskan lokasi untuk membantu pengguna mendapat tahu mengenai baucar ShopeePay oleh peniaga berhampiran termasuk kafe, restoran dan perkhidmatan.

“Baucar ini akan membantu peniaga luar talian untuk berhubung dengan pengguna yang melayari secara dalam talian terlebih dahulu untuk mencari barangan keperluan harian dan makanan,” katanya semasa pelancaran jualan beli-belah terkininya, Raya Bersama Shopee, hari ini.

ShopeePay turut berhasrat menarik lebih ramai pengguna untuk menggunakan kemudahan e-dompetnya dengan menawarkan kempen pulangan wang tunai.

“Pengguna mungkin tidak menemui semua ciri ShopeePay daripada sebilangan peniaga. Justeru, kami terus mengembangkan asas kami dan bekerja dengan rakan luar talian untuk mendorong usaha itu,” kata Yee.

‘Deals Near Me’ membolehkan pengguna membeli baucar di aplikasi Shopee dan menebusnya di outlet yang menyertai untuk menikmati pulangan wang tunai apabila mereka membuat pembayaran melalui ShopeePay.

Sementara itu, Pengurus Kanan (Pemasaran) Shopee Malaysia, Tan Ming Kit berkata platform e-dagang itu akan memperkenalkan kempen Pesta Jualan Raya 5.5 untuk bulan Ramadan.

“Kami telah menjalankan kempen dua digit yang kukuh pada tahun ini bermula dengan Shopee 2.2 Jualan Tahun Baru Cina (mulai 18 Jan hingga 13 Feb) dan kami menyaksikan peningkatan pesanan sebanyak 4.5 kali ganda di seluruh rantau bagi Shopee Premium pada 4.4 Hari Jualan Mega pertama kami, berbanding minggu menjelang kempen berkenaan.

“Ini adalah beberapa perkara yang ingin kami laksanakan sepanjang tahun bagi memastikan kami mempunyai kesemua tarikh istimewa ini untuk memberi manfaat kepada pembeli dan pengguna kami,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan