EKONOMI

Industri kitar semula mampu jana kemampanan ekonomi Malaysia

13/04/2021 03:04 PM

KUALA LUMPUR, 13 April -- Tanpa sektor kitar semula, Malaysia tidak akan dapat berkembang menjadi ekonomi yang mampan dan mewujudkan nilai baharu yang memanfaatkan masyarakat dan alam sekitar, kata Persatuan Pengilang Plastik Malaysia dan Persatuan Kitar Semula Plastik Malaysia.

Kedua-dua persatuan itu dalam satu kenyataan bersama berkata adalah penting untuk Malaysia melabur bagi membangunkan ekonomi pusingan agar dapat melupuskan sisa buangan dan pencemaran.

Menyulit dan memencilkan industri kitar semula plastik yang sah hanya akan menyebabkan salah tanggapan yang kemudiannya akan menjejaskan perniagaan yang diperakui termasuk merosakkan mata pencarian mereka yang mematuhi undang-undang dan bekerja keras.

Persatuan merasakan sebarang larangan secara menyeluruh hanya akan melambatkan dan menghalang pembangunan ekonomi pusingan serta kelestarian di Malaysia. 

Katanya, pengeluar multinational dan domestik Malaysia menghadapi sasaran kemampanan yang agak sukar dalam pasaran eksport, yang mana pengguna dan kerajaan mereka mengutamakan ekonomi pusingan.

Industri kitar semula yang sah mampu menyokong ekonomi Malaysia dengan menyediakan plastik kitar semula sebagai bahan mentah kepada sektor elektrik dan elektronik, automotif, perabot, makanan serta pembinaan.

Selain itu, kedua-dua persatuan menyatakan bahawa Konvensyen Basel yang dipinda, yang berkuatkuasa pada 1 Jan 2021, kini mengawal selia pergerakan sisa plastik merangkumi eksport ke import.

"Plastik Sampah tidak lagi boleh dihantar dari negara pengeksport tanpa persetujuan bertulis daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya.

Pelbagai agensi kawal selia dan penguatkuasaan sedang menyelaras tindakan mereka untuk mencegah kemasukan sisa plastik di bawah peraturan baharu itu termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara dan pihak berkuasa pelabuhan.

JAS juga sentiasa dimaklumkan mengenai import bahan sisa plastik yang bersih dan homogen yang diimport dengan betul oleh pengitar semula yang sah.

''Malah kami telah menerima pengenaan levi RM20 satu tan bagi membantu kos penguatkuasaan termasuk pemeriksaan pelabuhan kontena. Levi ini adalah tambahan kepada 18 peraturan baharu yang perlu kami patuhi," tambah mereka.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan