EKONOMI

Komarkcorp kembang pengeluaran topeng muka melalui tawaran saham

13/04/2021 01:00 AM

KUALA LUMPUR, 12 April  -- Komarkcorp Bhd berhasrat untuk mengumpulkan sekitar RM23.07 juta daripada cadangan tawaran saham persendirian bagi mengembangkan kapasiti pengeluaran topeng mukanya.

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata penempatan tawaran saham persendirian yang dicadangkan itu membabitkan sehingga 96,223,000 saham biasa baharu, mewakili 20 peratus daripada jumlah saham terbitan sedia ada kepada pelabur pihak ketiga bebas yang akan dikenal pasti dan pada harga terbitan yang akan ditentukan kemudian.

"Kami berhasrat untuk mengembangkan kapasiti pengeluaran kami melalui pembelian mesin tambahan bagi mengadakan 75 barisan pengeluaran topeng muka tiga lapis dan 10 barisan pengeluaran untuk topeng muka KN95 dalam tempoh 18 bulan akan datang.

"Selepas selesai pengembangan, kumpulan akan memiliki 100 barisan pengeluaran untuk topeng muka tiga lapis dan 15 jalur pembuatan topeng muka KN95," katanya.

Syarikat itu, yang terlibat dalam percetakan label dan penyelesaian pembungkusan mengatakan keperluan untuk topeng muka perubatan melonjak susulan pandemik COVID-19, khususnya di negara-negara yang terjejas teruk.

"Sebagai contoh, kadar jangkitan di negara/wilayah yang mana menjadi sasaran eksport topeng muka Komarkcorp Group seperti India, Amerika Syarikat, Afrika, Eropah dan Amerika Selatan telah meningkat pada kadar yang membimbangkan," katanya.

Operasi pembuatan topeng muka Komarkcorp ditempatkan di kilang serta ibu pejabatnya di Balakong, Selangor, yang berkeluasan 1.39 hektar, yang mana kira-kira 0.46 hektar telah diperuntukkan untuk tujuan tersebut.

Memandangkan ruang yang ada hanya mampu menampung hingga 50 barisan pengeluaran topeng muka, kumpulan itu ingin memperoleh kilang berdekatan untuk memusatkan rantaian bekalannya.

Syarikat itu telah mempelbagaikan perniagaannya pada 2020 untuk merangkumi pembuatan dan penjualan topeng muka setelah mendapat kelulusan pemegang saham pada Ogos tahun yang sama serta berjaya mengumpulkan hasil sebanyak RM59.21 juta bagi mewujudkan 30 barisan pengeluaran untuk tujuan tersebut.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan