EKONOMI

SME Corp komited bantu bangun, pulihkan PKS terjejas COVID-19

12/04/2021 06:15 PM

KUALA LUMPUR, 12 April  -- SME Corp Malaysia komited untuk terus membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam memajukan serta membangunkan semula perniagaan mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Ketua pegawai eksekutifnya Rizal Nainy berkata, SME Corp akan melaksanakan dua strategi jangka panjang bagi memberi tumpuan kepada pertumbuhan seimbang dan mapan serta memastikan pertumbuhan PKS secara menyeluruh.

Menurutnya, strategi pertama adalah untuk meningkatkan penubuhan firma berpertumbuhan tinggi dan inovatif bagi melonjakkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) melalui sokongan dalam automasi, pendigitalan dan kelastarian.

"Strategi kedua pula adalah bagi meningkatkan sumbangan perusahaan mikro (B40) kepada ekonomi," katanya pada sesi ramah mesra bersama media di sini, hari ini.

Rizal berkata, di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini, SME Corp juga telah diperuntukkan dana sebanyak RM60 juta bagi melaksanakan dua program iaitu Skim Pembiayaan Pengukuhan PKS dan TUBE@PEMERKASA.

Menurutnya, Skim Pembiayaan Pengukuhan PKS yang bakal memberi tumpuan dalam membantu PKS tempatan yang terpinggir menawarkan pembiayaan sehingga RM250,000 dengan kadar faedah serendah 3.0 peratus.

“Program TUBE@PEMERKASA pula adalah bagi mempersiapkan para belia Bumiputera yang mempunyai minat mendalam untuk menceburkan diri dalam perniagaan.

“Program ini juga telah dikenal pasti sebagai salah satu program yang dapat membantu mengatasi isu pengangguran yang berlaku dalam kalangan belia Bumiputera serta meningkatkan sosioekonomi mereka,” katanya.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan