AM

126 penduduk Kampung Peel mohon rumah ganti

11/04/2021 01:49 PM

KUALA LUMPUR, 11 April -- Sebanyak 126 keluarga di Kampung Peel memohon agar mereka diberikan rumah gantian sebelum mereka boleh mengosongkan perkampungan berusia 60 tahun itu bagi tujuan pembangunan.

Ketua kampung tersebut A. Deva, 46, berkata penduduk yang kebanyakan terdiri daripada golongan B40 memohon agar pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempertimbang untuk menyediakan kediaman gantian di Projek Perumahan Rakyat (PPR). 

"Saya mohon budi bicara DBKL agar membantu kami, kami tidak kisah ditempatkan di mana-mana PPR di Bukit Jalil ke Jalan Peel atau  Pudu Ulu, asalkan ada rumah," katanya kepada pemberita ketika membuat bantahan secara aman di penempatan tersebut hari ini.

A. Deva berkata walaupun ditawarkan wang pampasan sehingga RM15,000 oleh pemaju, jumlah tersebut tidak mencukupi bagi penduduk yang setuju berpindah untuk memulakan kehidupan di kediaman baharu terutama untuk jangka masa panjang. 

“Penduduk di sini kebanyakannya terdiri daripada warga emas dan telah tinggal di sini berpuluh tahun, mana kami hendak pergi jika tidak dibantu diberi rumah," katanya. 

Seorang penduduk di situ Lau Wan Ngoh, 88, pula berkata dia tidak pernah membayangkan akan meninggalkan perkampungan tersebut pada usia lanjut. 

"Ini satu-satunya rumah yang saya ada untuk berteduh , daripada kecil saya sudah tinggal di sini, kesemua anak juga membesar di sini, tidak tahu ke mana jika diminta keluar tanpa ada rumah ganti.

"Kesemua anak saya telah dewasa dan sudah ada kehidupan sendiri, saya tidak mahu menyusahkan mereka," katanya. 

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan Wilayah Persekutuan P. Prabakaran berkata penduduk perlu diberi keadilan memandangkan mereka adalah peneroka bandar dan penduduk asal kawasan tersebut. 

"Sebelum ini penduduk telah menang dalam saman di mahkamah kerana mereka mempunyai geran sementara (TOL) membuktikan mereka adalah peneroka bandar yang sah dan bukan penceroboh tanah," katanya yang merancang membuat perbincangan semula dengan pihak DBKL serta pemaju sekitar minggu depan. 

Prabakaran berkata pihak pemaju juga diharap mempertimbang untuk memberi diskaun kepada penduduk dari golongan M40 bagi membolehkan mereka membeli kediaman dengan harga mampu milik untuk projek akan datang.  

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan