AM

Gempa di Jawa Timur: Tujuh disahkan terkorban setakat pagi ini

11/04/2021 01:31 PM

JAKARTA, 11 April -- Kejadian gempa bumi kuat di Jawa Timur selatan semalam disahkan meragut tujuh nyawa setakat pagi tadi, selain menyaksikan lebih 800 kediaman dan bangunan runtuh serta rosak teruk.

Menurut Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) Raditya Jati,  tiga kematian dilaporkan di Kabupaten Malang sementara empat di Kabupaten Lumajang.

Hingga kini, BNPB masih mengumpul statistik di 17 kabupaten dan kota di Jawa Timur yang mengalami gegaran bermagnitud 6.7 pada skala Richter pada kira-kira 2 petang semalam, berpusat di 90 kilometer barat daya Kabupaten Malang. 

Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia turut mencatatkan beberapa gempa susulan bermagnitud rendah masih berlaku di wilayah berkenaan, dan terbaharu bermagnitud 5.5 pada skala Richter pada 6.54 pagi tadi.

Kejadian gegaran semalam itu turut dirasakan di hampir seluruh wilayah Jawa Timur, termasuk beberapa kawasan di Jawa Tengah serta Pulau Bali dan Lombok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan