DUNIA

China keluarkan kertas biru hubungan negara jiran

10/04/2021 05:26 PM

BEIJING, 10 April -- China pada Jumaat mengeluarkan laporan kertas biru mengenai Pembangunan Hubungan China dengan Negara-negara Jiran 2021.

Ia antara lain mengandungi perkara berkaitan wabak COVID-19 yang menular pada  2020 yang telah mempercepat perubahan dunia. 

Dunia kini memasuki tempoh pergolakan dan pembaharuan, namun keamanan, pembangunan, kerjasama dan situasi sama menang tetap merupakan arus sezaman. 

Dalam pada itu, hubungan antara China dengan negara jiran pula memasuki fasa perkembangan  baharu. 

Ditinjau dari perspektif serantau, menurut kertas biru itu, China dan ASEAN saling menjadi rakan dagang terbesar pada  2020. 

Sementara itu, hubungan perkongsian strategik ke arah kedamaian dan kemakmuran antara China dan ASEAN pula telah memasuki era baharu.

Di bawah kerangka Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA), tahap integrasi ekonomi China-ASEAN ditingkatkan, sementara kerjasama ekonomi dan perdagangan kedua-dua pihak pula melonjak ke tahap baharu. 

Menurut kertas biru itu lagi, hubungan China dengan negara-negara Asia Barat telah berjaya mengatasi tempias wabak dan gangguan pihak luar.

Asas kerjasama kedua-dua pihak kian diperkukuh dan kerjasama dalam bidang baharu berkembang baik. 

Kertas biru itu menyebut, pada masa akan datang, China dan negara Asia Barat akan terus meningkatkan kerjasama dalam infrastruktur, tenaga, perdagangan, pelaburan, tenaga nuklear, satelit, tenaga baharu dan lain-lain.

Selain itu, kerjasama China dengan negara Asia Timur Laut telah mencapai hasil menggalakkan dalam perjuangan membendung wabak, namun proses integrasi ekonomi serantau masih perlahan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan