PUTRAJAYA, 9 April -- Menyampaikan aspirasi baharu rakyat segenap lapisan antara peranan penting yang perlu dimainkan barisan panel pakar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam memastikan Visi Sukan Negara (VSN) 2030 terlaksana.
Timbalan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata selain memberi pandangan konstruktif terhadap dasar dan program KBS, panel pakar turut berperanan sebagai penghubung kementerian dan masyarakat dalam mengukuhkan keberkesanan visi tersebut.
“POE (Panel of Experts) harus berperanan sebagai perancang, suara dan pembantu dalam menyebarluaskan kepada masyarakat selain daripada memberikan idea baharu kepada kerajaan khususnya KBS.
“Selain itu, kita juga boleh menjadi salah satu saluran yang menyampaikan kepada KBS apa yang rakyat perlukan dan perubahan terkini dalam industri sukan,” katanya yang merupakan salah seorang ahli jawatankuasa panel itu pada sesi temu bual berkenaan Pendemokrasian Sukan dalam VSN 2030 di Menara KBS, hari ini.
Pengarah Urusan Richard Wee Chambers, Richard Wee berkata beliau kagum dengan barisan panel pakar yang terdiri daripada pelbagai latar belakang yang turut memiliki kebolehan serta pengalaman berlainan, namun berkaitan dengan sukan dan belia.
“Panel pakar bukan sahaja akan membantu tetapi boleh menyokong dan dalam sesetengah keadaan boleh menjadi teladan bagi VSN 2030,” katanya.
Selain Md Amin, Richard merupakan salah seorang daripada 25 individu menganggotai jawatankuata panel pakar tersebut.
Rabu lepas, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican melancarkan Kanvas VSN 2030 bertujuan memberi peluang kepada penggiat serta pengamal sukan untuk terlibat secara langsung dalam penggubalan dasar pembangunan sukan negara bagi tempoh sedekad ini.
Ia disusuli dengan harapan untuk menjadikan tempoh 10 tahun akan datang sebagai dekad emas bagi sukan Malaysia.
Rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang budaya, geografi dan ekonomi, mampu memberikan pendapat mereka untuk 10 tahun ini, melalui beberapa sesi libat urus secara bersemuka dan maya, perbincangan kumpulan fokus dan menerusi laman web kanvas VSN 2030.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial