KUALA LUMPUR, 9 April -- Nilai jualan perdagangan borong dan runcit merosot 0.9 peratus kepada RM108.0 bilion pada Februari 2021 berbanding tempoh yang sama tahun lepas, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kemerosotan ini adalah disebabkan oleh perdagangan runcit yang menguncup 2.1 peratus atau RM0.9 bilion kepada RM44.3 bilion.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau menambah kejatuhan itu adalah disebabkan penurunan dalam jualan produk bukan keperluan iaitu jualan runcit di kedai pengkhususan (-6.6 peratus), jualan runcit barangan isi rumah (-2.5 peratus) dan jualan runcit barangan kesenian dan rekreasi (-3.2 peratus).
Bagaimanapun, jualan barangan keperluan menunjukkan peningkatan terutamanya jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang mencatatkan 1.9 peratus tahun ke tahun kepada RM15.8 bilion, diikuti oleh jualan runcit makanan, minuman dan tembakau yang meningkat 6.2 peratus tahun ke tahun kepada RM2.8 bilion.
"Jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar turut berkembang 9.3 peratus tahun ke tahun kepada RM0.4 bilion diikuti oleh jualan runcit di gerai dan pasar yang naik 6.1 peratus kepada RM0.1 bilion,” jelas beliau.
Sementara itu, perdagangan borong susut sebanyak RM0.03 bilion atau 0.1 peratus kepada RM52.6 bilion, terutama disebabkan oleh indeks lain-lain pengkhususan jualan borong yang merosot 4.3 peratus dan diikuti oleh jual borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup dan jual borong berdasarkan kontrak atau yuran yang masing-masing menyusut 2.0 peratus dan 5.1 peratus.
"Sebaliknya, jualan borong makanan, minuman dan tembakau meningkat 5.4 peratus kepada RM10.0 bilion, diikuti oleh jualan borong barangan isi rumah yang naik 3.4 peratus kepada RM10.6 bilion sementara jualan borong jentera, peralatan dan bekalan turut berkembang 2.5 peratus tahun ke tahun untuk menjana jualan sebanyak RM4.4 bilion," kata beliau.
Mohd Uzir berkata indeks bagi kenderaan bermotor turut merosot 0.1 peratus kepada RM11.1 bilion disebabkan oleh jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor yang jatuh 4.1 peratus untuk merekodkan RM2.8 bilion.
"Ini diikuti oleh penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor turut menyusut 6.3 peratus kepada RM1.5 bilion sementara jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal juga turun 1.9 peratus kepada RM0.9 bilion.
'’Bagaimanapun, jualan kenderaan bermotor menunjukkan peningkatan positif 3.8 peratus kepada RM6.0 bilion," katanya.
Sementara itu, indeks jualan runcit dalam talian yang menggambarkan aktiviti e-dagang turut melonjak dengan merekodkan pertumbuhan 23.1 peratus tahun ke tahun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial