AM

Lebih 80 peratus kematian akibat COVID-19 berkaitan dengan komorbid - Dr Adham

09/04/2021 02:13 PM

PUTRAJAYA, 9 April -- Kira-kira 86.3 peratus atau 1,126 kematian akibat COVID-19 adalah mereka yang mempunyai sejarah komorbid seperti menghidap tekanan darah tinggi dan kencing manis selain golongan berusia, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Adham berkata peratusan itu adalah daripada keseluruhan 1,306 kematian yang direkodkan hingga 7 April lepas.

“Jelas sekali kesemua penyakit tidak berjangkit (NCD) banyak berkaitan dengan pemakanan sekali gus risiko kematian komorbid adalah tinggi apabila dijangkiti COVID-19," katanya ketika melancarkan Bulan Pemakanan Malaysia Peringkat Kebangsaan 2021 dan Inisiatif MyChoice, di sini hari ini.

Bersempena sambutan Bulan Pemakanan Malaysia Peringkat Kebangsaan 2021, Dr Adham mengumumkan Piramid Makanan Malaysia dan Panduan Diet Malaysia terbaharu yang mengandungi perubahan ketara, iaitu kumpulan makanan bagi sayur-sayuran dan buah-buahan diletakkan pada dasar piramid.

Sebelum ini, menurutnya dasar piramid ialah kumpulan karbohidrat seperti nasi, mi, roti, bijirin, produk bijirin dan ubi-ubian.

“Ini menunjukkan kepentingan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam jumlah lebih berbanding kumpulan makanan lain, iaitu sekurang-kurangnya tiga sajian sayur dan dua sajian buah-buahan setiap hari,” katanya.

Mengenai MyChoice, beliau berkata inisiatif itu bertujuan menggalakkan industri perkhidmatan makanan menyediakan hidangan berdasarkan kriteria nutrien yang sihat.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan