SUKAN

Aidil Sharin yakin pemain gantian mampu galas tugas hadapi TFC

09/04/2021 12:43 PM

ALOR SETAR, 9 April  -- Pemain gantian Kedah Darul Aman FC (KDA FC) diyakini mampu mengisi kekosongan beberapa pemain utama yang tidak dapat diturunkan pada perlawanan menentang Terengganu FC (TFC) malam ini.

Keyakinan itu disuarakan ketua jurulatih KDA FC Aidil Sharin Sahak selepas empat pemain skuad Hijau Kuning dibelenggu kecederaan iaitu Renan Alves, Syazwan Tajudin, Syazwan Zainon dan Rozaimi Abdul Rahman.

"Ada empat pemain yang mengalami kecederaan tetapi kita masih ada pemain gantian. Jadi, kami tidak risau dan seluruh pasukan juga memberi kepercayaan kepada mana-mana pemain yang akan turun padang untuk menentang pasukan lawan nanti.

"Terengganu banyak menunjukkan perubahan baik pada musim ini, serta mempunyai pemain bagus dan laju. Tetapi, apa yang penting Kedah perlu fokus dengan pelan yang telah diatur dan percaya pada pasukan sendiri tanpa bimbang dengan pasukan lawan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di sini hari ini.

Sementara itu, Aidil Sharin berkata kehadiran penyokong ke Stadium Darul Aman malam ini juga dilihat dapat menyumbang semangat kepada anak-anak buahnya selepas terpaksa menentang pasukan lawan tanpa kehadiran penyokong sebelum ini. 

"Pasukan kita menang empat perlawanan berturut-turut dan ia memberi motivasi kepada semua pemain. Malam ini pula, kita dapat bermain di tempat sendiri dan lebih indah dengan kehadiran penyokong, sorakan mereka nanti mampu memberi semangat kepada pasukan untuk bermain dengan lebih baik," katanya.

Selepas tujuh perlawanan, KDA FC berada di tangga kedua Liga Super dengan mengumpul 16 mata, ketinggalan satu mata di belakang pendahulu Johor Darul Ta'zim (JDT) manakala TFC di tangga keempat dengan 12 mata.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan