SUKAN

Persekutuan Judo Malaysia terima pengiktirafan Jepun 

08/04/2021 04:39 PM

KUALA LUMPUR, 8 April  -- Persekutuan Judo Malaysia (MJF) dianugerahkan Japanese Foreign Ministry Commendation 2020 atas sumbangan  besar dalam mempererat persahabatan Malaysia-Jepun.

Anugerah itu disampaikan Duta Jepun ke Malaysia Oka Hiroshi kepada Presiden MJF, Datuk Andrew Lim Tatt Keong, di sini, pada Khamis.

Oka berkata MJF aktif memperkenal dan mempromosi seni mempertahankan diri Jepun itu kepada tentera dan polis Malaysia.

Sejak mewakili Malaysia di pentas dunia, persekutuan juga aktif membantu dan menganjurkan kejuaraan antarabangsa seperti Kejohanan Judo Antarabangsa Piala Jigoro Kano 2016 di Pulau Pinang, melibatkan penyertaan 200 pengamal judo dari 15 negara.

“MJF gigih mempromosikan judo di seluruh negara sehingga judo kian  diterima di Malaysia.

"Pelbagai program pertukaran diatur MJF sekali gus mengukuhkan persahabatan Jepun dan Malaysia, Jepun sangat menghargainya," katanya.

Oka berkata meskipun pasukan Judo Malaysia tidak menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020, beliau yakin MJF akan terus menyokong Judoka Malaysia (pengamal judo) dan berharap Judoka mengambil bahagian pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Beliau turut berharap Malaysia akan memperkenalkan Judo sebagai sebahagian aktiviti kurikulum tambahan di sekolah dalam masa terdekat.

Sementara itu, Lim berkata MJF berharap dapat bekerjasama dengan Kedutaan Jepun di sini untuk mempromosikan lagi judo di samping mengeratkan lagi hubungan kedua-dua negara.

Anugerah berkenaan diberikan setiap tahun oleh Menteri Luar Jepun kepada individu dan kumpulan yang telah memberikan sumbangan besar dalam mempererat persahabatan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan