AM

Masyarakat tani digalak pasar produk secara dalam talian 

08/04/2021 04:33 PM

KLUANG, 8 April  -- Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) kini dalam usaha menggalakkan masyarakat tani menggunakan teknologi terkini seperti platform e-dagang untuk memasarkan hasil tani mereka secara dalam talian.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata langkah ini penting kerana penggunaan teknologi telah terbukti dapat meningkatkan hasil jualan.

Mengambil contoh ketika pandemik COVID-19 melanda negara setahun lalu, Ronald berkata kementerian telah berjaya merekodkan lebih RM300 juta hasil jualan tani melalui tiga platform e-dagang yang dibangunkan.

Katanya platform itu ialah Agro Bazaar Online, Nekmatbiz dan e-peladang, masing-masing dikendalikan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP). 

“Kita (kementerian) melihat perniagaan dalam talian ketika pandemik COVID-19 sebagai satu bentuk atau alternatif jualan dan pemasaran yang efektif. 

“Kita berharap platform sebegini terus digunakan oleh pengguna atau organisasi seperti Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk mempromosikan pembelian atau jualan hasil tani mereka.

“Pada masa sama, kita juga tidak menghalang pihak persendirian (masyarakat tani) untuk membangunkan platform e-dagang sendiri bagi tujuan sama,” katanya kepada pemberita di sini. 

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Peladang Outlet (PO) peringkat Kebangsaan di Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (PPHP), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kluang hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Samsolbari Jamali dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Ketua Pengarah LPP Datuk Azulita Salim. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan