AM

Sabah terima 12,000 dos vaksin COVID-19 Pfizer BioNTech hari ini - Pengarah Kesihatan

08/04/2021 03:42 PM

KOTA KINABALU, 8 April -- Sabah akan menerima 12,000 dos vaksin COVID-19 Pfizer BioNTech hari ini yang merupakan penghantaran ketujuh selepas penghantaran pertama vaksin itu pada 25 Feb lepas bagi fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Difahamkan kumpulan ketujuh vaksin itu dijadual tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu petang ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi berkata setakat semalam, Sabah telah menerima lebih 100,000 dos vaksin COVID-19 Pfizer BioNTech dan daripada jumlah itu lebih 79,000 dos vaksin telah diberikan kepada penduduk di negeri itu.

"Bagi memastikan program imunisasi ini berjalan lancar, penghantaran vaksin COVID-19 dijalankan secara berkala dan teratur mengikut jadual yang telah disusun rapi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Perancangan dan penjadualan yang teratur ini membolehkan kita untuk memperbaiki kekurangan sedia ada dan siap siaga untuk meneruskan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan fasa kedua nanti dijadual bermula 17 April ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Bulan Pemakanan Malaysia peringkat negeri Sabah di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun dilaporkan berkata 45,038 orang telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 Pfizer BioNTech di negeri ini manakala 34,439 orang lagi telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan