AM

Universiti perlu dana baiki infrastruktur mesra OKU di kampus - Ras Adiba

09/04/2021 10:36 AM

SERDANG, 8 April -- Senator Datuk Ras Adiba Radzi akan membawa ke perhatian kerajaan cadangan untuk memperuntukkan dana bagi membaik pulih dan menyediakan infrastruktur pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) di institusi pendidikan awam dan swasta.

Presiden OKU Sentral itu yang merupakan Senator mewakili golongan OKU berkata dana tersebut perlu agar kemudahan sedia ada dapat dibaik pulih untuk kegunaan golongan itu.

"Ia sekali gus meyakinkan pelajar OKU untuk melanjutkan pendidikan mereka tanpa rasa tersisih daripada pelajar biasa," katanya kepada Bernama selepas melawat Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini, yang merupakan lawatan sulungnya dalam siri Jelajah Universiti yang akan diteruskan selepas ini. 

Ras Adiba yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), dibawa ke beberapa lokasi dalam kampus untuk meninjau kemudahan yang disediakan pihak universiti kepada mahasiswa OKU.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Dr Arifin Abdu berkata UPM kini mempunyai 53 mahasiswa OKU termasuk dua pelajar antarabangsa dan lima staf OKU termasuk seorang pensyarah.

Beliau berkata UPM sentiasa berusaha memperkasa pengurusan hal ehwal pelajar dan alumni tanpa mengira kategori pelajar termasuk penyertaan pelajar OKU dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.

Menurutnya, Unit Perkhidmatan dan Sokongan OKU yang ditubuhkan pada 2019 membantu UPM untuk menambah baik kemudahan  dan memudahkan pergerakan pelajar OKU dalam kampus, contohnya khidmat pengangkutan pergi balik setiap kali mereka perlu hadir kuliah.

Sementara itu, seorang pelajar OKU fizikal (kerdil) Mas Nur Jannah Maskop, 22, berkata sebelum memasuki UPM, pihak universiti ada menghubunginya untuk mengetahui jenis ketidakupayaan bagi tujuan sokongan yang diperlukan mahasiswa itu.

“Alhamdullilah, saya yakin dan tidak gentar untuk belajar di sini kerana kemudahan disediakan. Saya juga diberikan asrama aras bawah untuk memudahkan pergerakan saya,” kata pelajar tahun dua jurusan Komunikasi itu.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan