AM

Usahawan kuih tradisi Melayu diberi peluang tampil di hotel lima bintang

08/04/2021 01:31 PM

BUTTERWORTH, 8 April -- Dua usahawan wanita yang menjalankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) diberikan peluang oleh sebuah hotel terkemuka di sini untuk menampilkan kuih-muih tradisi masyarakat Melayu sebagai menu berbuka puasa.

Pasangan adik-beradik Ashma Bee Sultan, 56, dan Mariam Bee Sultan, 45, berkata perniagaan kuih-muih secara kecil-kecilan yang diusahakan sejak lima tahun lalu, menggunakan resepi turun-temurun daripada ibu mereka, dalam masa yang sama telah ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Kami tidak sangka perniagaan yang bermula secara kecil-kecilan, sekarang dapat menjamu tetamu di hotel lima bintang. Selalunya, produk kami hanya dipromosikan di laman Facebook peribadi sahaja dan pembeli dari kalangan sahabat handai, sanak saudara dan pelanggan setia.

“Sejak diberikan peluang oleh pihak hotel dalam beberapa bulan yang lalu, pihak hotel akan tempah sekitar 300 hingga 600 biji kuih setiap hari daripada tiga sehingga enam jenis kuih yang berbeza...Setiap minggu, kami juga akan dipanggil untuk menunjukkan cara-cara menghasilkan kuih tradisi kepada pengunjung,” kata Ashma yang juga pesara guru sekolah rendah di sini hari ini.

Tambah beliau, pihaknya bersyukur kerana dalam masa yang sama, pihak hotel terutamanya cef telah berkongsi banyak idea dan cadangan untuk memantapkan lagi persembahan hidangan yang bakal dijamu kepada para pelanggan.

Ashma dan Mariam menampilkan kuih seri muka, kuih lapis, kuih talam keladi, bengkang ubi kayu, bengkang suji gula merah, donat susu, kuih talam pisang, bengkang gandum, bengkang kacang merah dan sebagainya.

Dalam pada itu, Cef Eksekutif Hotel The Light Halim Mohamad berkata sebelum ini, pihak hotel telah menerima aduan bahawa variasi makanan yang disediakan kurang mengetengahkan kuih tradisi masyarakat Melayu. 

“Kami ambil maklum tentang perkara itu dan kami buka peluang kepada peniaga kecil di luar sana untuk menghantar sampel kuih mereka untuk dipilih. Dalam pemilihan terakhir, terdapat lima peserta akhir yang berentap akhirnya, kami memilih kuih hasil tangan dua wanita ini kerana rasanya asli dan sedap, pembuatannya juga bersih,” katanya.

Beliau berkata usaha itu merupakan satu daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu para peniaga yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Tambahnya untuk menu berbuka puasa tahun ini, Hotel The Light menggunakan tema ‘Santapan Warisan Melayu’ dan ‘Tabaq Al Maghribi’ untuk mengetengahkan hidangan tradisi masyarakat Melayu dan Maghribi sebagai juadah utama berbuka puasa selain makanan masyarakat India dan Cina seperti kari kepala ikan, nasi beriani, dim sum dan nasi itik panggang.

Kapasiti pelanggan untuk makan di kafe hotel kini terhad kepada 120 orang dalam satu-satu masa berbanding 250 orang seperti kebiasaannya selaras dengan garis pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan