DUNIA

COVID-19: Thailand sahkan kes pertama varian UK - pakar

07/04/2021 09:54 PM

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 7 April  -- Thailand hari ini mengesahkan kes COVID-19 tempatan pertama membabitkan varian  B117 UK. 

Pakar virologi dari Universiti Chulalongkorn Dr Yong Poovorawan berkata varian UK itu boleh merebak 1.7 kali lebih cepat berbanding virus tanpa mutasi.

"Varian baharu itu dikesan di kluster Thonglo (tempat hiburan) membabitkan 24 pesakit,” katanya pada taklimat di Kementerian Kesihatan Awam hari ini. 

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Saksayam Chidchob diuji positif COVID-19 hari ini sementara sekurang-kurangnya 10 menteri kabinet dan ahli parlimen mula menjalani kuarantin kendiri selepas menjadi kontak rapat kes positif di Bangkok.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul yang menghadiri upacara keagamaan di wilayah Buriram antara yang menjalani kuarantin di rumah.

Saksayam, antara penerima dos pertama vaksin COVID-19 bulan lalu, percaya beliau dijangkiti daripada seorang pegawai di pejabatnya. Kini beliau menjalani rawatan di Hospital Buriram. Saksayam dijadual menerima dos kedua hari ini.

Sejak 24 jam lalu, Thailand mencatatkan 334 kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kepada 29,905 dan 95 kematian setakat ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha mempengerusikan mesyuarat kabinet maya berikutan kebanyakan anggota kabinet menjalani kuarantin kendiri. 

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata daripada 334 kes baharu, sejumlah 327 adalah penularan tempatan termasuk 174 melibatkan mereka yang mendapat rawatan di hospital dan 153 melalui pengesanan kes aktif. Tujuh kes import dilaporkan.

Katanya, Bangkok mencatatkan 216 kes baharu berkaitan dengan pusat hiburan.

Gelombang baharu wabak COVID-19 yang bermula pada Ahad kini merebak ke 27 wilayah.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan