EKONOMI

132,118 dapat pekerjaan melalui Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan - Tengku Zafrul

07/04/2021 05:56 PM

KUALA LUMPUR, 7 April -- Seramai 132,118 individu berjaya mendapat pekerjaan melalui Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan, setakat 26 Mac, 2021, berbanding 131,568 pada minggu sebelumnya. 

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata antara industri dan sektor utama yang mengambil pekerja termasuklah pembuatan serta perdaganan borong dan runcit. 

Bagi Permohonan Program Subsidi Upah (PSU) 1.0 yang diluluskan setakat Februari 26, 2021, ia telah pun mencapai nilai RM12.841 bilion melibatkan 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja. 

"Bagi PSU 2.0, setakat Mac 26, 2021, sejumlah RM1.112 bilion telah disalurkan kepada 72,875 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 626,955 pekerja," katanya ketika membentangkan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-48, pada Rabu.

Tengku Zafrul berkata bagi Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran, seramai 137,290 peserta diluluskan untuk mengambil bahagian dalam program yang disediakan. 

Katanya, kerajaan turut melancarkan HRDF Placment Centre (HPC) iaitu pusat penempatan pekerja yang bertujuan untuk mempromosi peluang pekerjaan serta memadankan calon yang sesuai dengan perniagaan, organisasi dan industri yang tepat.  

"Untuk mencapai hasrat ini HPC komited bukan sahaja untuk menyediakan kursus latihan tetapi juga perkhidmatan nilai tambah yang dapat membantu meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mencari kerja. 

"Platform penempatan ini memberi penekanan pada pembangunan peribadi pencari kerja melalui perancangan dan bimbingan kerjaya, pemadanan pekerjaan serta kaunseling," jelasnya. 

Menurutnya, program seperti itu membuktikan kesungguhan kerajaan untuk mencapai sasaran 500,000 peluang pekerjaan menjelang hujung tahun ini. 

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, antara inisiatif lain oleh kerajaan dalam penjanaan pekerjaan adalah penganjuran Karnival Penjana Kerjaya Terengganu 2021 pada 3-4 April dengan seramai 4,631 pencari pekerjaan telah ditemuduga dan 982 calon ditawarkan jawatan manakala 1,257 calon lagi akan menjalani temuduga pusingan kedua.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan