AM

Polis kenal pasti lorong tikus jadi tumpuan penyeludup di sempadan

07/04/2021 04:25 PM

JITRA, 7 April  -- Polis mengenal pasti laluan tikus di kawasan sempadan negara terutama di negeri ini yang dijangka menjadi tumpuan penyeludup menjalankan kegiatan mereka pada bulan Ramadan ini.

Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan berkata memandangkan pintu sempadan masih ditutup, pihaknya percaya aktiviti penyeludupan akan meningkat di laluan berkenaan sekali gus perlu diberikan tumpuan bagi mengesan aktiviti menyalahi undang-undang.

“Lorong tikus kebiasaannya digunakan sindiket membawa masuk dan barangan lari dari cukai dan menyalahi undang-undang contohnya penyeludupan senjata api, bayi, dadah dan kemasukan warga asing. 

“Sempadan sentiasa kita pantau sama ada bulan puasa atau tidak, penugasan kami  berjalan, pelbagai usaha kita laksanakan antara polis dengan lain-lain agensi yang bertugas di sempadan,” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kubang Pasu di sini hari ini.

Beliau berkata tanggungjawab mengawal sempadan negara itu turut dilakukan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia dan agensi pengkuatkuasaan lain.

Pada majlis itu, Komander Unit Pencegah Penyeludupan Sempadan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Perlis Supt Rodzi Abu Hassan dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kubang Pasu yang baharu menggantikan ACP Mohd  Ismail Ibrahim yang dilantik sebagai Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Johor.

Sementara itu, mengulas mengenai pelantikannya sebagai Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Rodzi berkata beliau akan menggalas tanggungjawab itu sebaik mungkin bagi menjamin keselamatan awam terus terpelihara di daerah tersebut.

“Saya akan menyesuaikan diri kerana sebelum ini saya bertugas sebagai polis marin selama 26 tahun di Sabah, Melaka, Langkawi, Pahang dan Perlis, bertugas di laut dan darat adalah tidak sama dan cabarannya juga lain, tapi itu bukan halangan dan saya akan melaksanakan tugas sebaik mungkin,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan