DUNIA

Ribuan ditahan dalam operasi Interpol di Amerika Selatan

07/04/2021 02:50 PM

MOSCOW, 7 April -- Hampir 4,000 suspek di Amerika Selatan ditahan dan kira-kira 200,000 senjata api, peralatan, komponen, peluru serta bahan letupan disita dalam operasi dilancarkan Interpol, lapor Sputnik. 

Interpol dalam satu kenyataan pada Selasa berkata operasi 'Trigger VI' dengan kerjasama Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Dadah dan Jenayah (UNODC) dijalankan dari 8 hingga 28 Mac di 13 negara Amerika Selatan.

"Ratusan ribu orang diperiksa dan kenderaan digeledah. Operasi babitkan  polis, kastam, pihak berkuasa sempadan dan pendakwa membolehkan hampir 10,000 pemeriksaan dilakukan berdasarkan pangkalan data INTERPOL untuk mengesan senjata api haram dan jenayah terancang.

"Senjata api haram menjadi ancaman serius terhadap keselamatan dan kestabilan di Amerika Selatan. Justeru, kerjasama pelbagai agensi penting untuk mengenal pasti dan membongkar jenayah terancang dan kumpulan pengganas yang terlibat.

"Operasi Trigger VI berjaya merampas ribuan senjata haram milik penjenayah dan membuktikan komitmen jitu penguatkuasaan di Amerika Selatan walaupun menghadapi cabaran pandemik," kata Ketua Setiausaha Interpol Jurgen Stock. 

Menerusi operasi itu anggota kumpulan jenayah di Uruguay berjaya ditahan; sejumlah besar senjata api di Peru dan Brazil disita; penahanan seorang warga Colombia yang dikehendaki Interpol; lebih 21 tan kokain, ganja dan bahan kimia dirampas; dan 33 disyaki mangsa pemerdagangan orang diselamatkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan