EKONOMI

PAYLATER mendidik dan menggalakkan perbelanjaan berhemah kepada pengguna

07/04/2021 12:18 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 7 April  -- Syarikat tempatan yang baru mula bertapak dalam bidang teknologi kewangan (Fintech) Kale (Technology) Sdn Bhd memperkenalkan produk berkonsepkan “beli sekarang, bayar kemudian” bertujuan bukan sahaja untuk membantu peruncit dengan menyediakan penyelesaian pembayaran alternatif malah mendidik pengguna tentang perbelanjaan berhemah.

Penyelesaian pembayaran alternatif tersebut, PAYLATER, merupakan aplikasi yang membolehkan pengguna membeli barangan menggunakan pelan ansuran yang dilancarkan pada November 2020.

Pengasas Kale (Technology) Dexter Wong berkata syarikat itu menyasar untuk menggalakkan perbelanjaan berhemah dalam kalangan pengguna di tengah-tengah penularan pandemik COVID-19.

Beliau berkata pengguna mampu mendapatkan barangan yang diperlukan secara ansuran tanpa faedah untuk empat ansuran secara minimum.

“Dalam tempoh yang sukar ini, saya percaya ramai yang terjejas pendapatannya dalam meneruskan kelangsungan hidup. 

 “Mereka masih perlu membeli barangan keperluan, oleh itu, matlamat kami adalah untuk menggalakkan perbelanjaan yang berhemah menerusi pelan ansuran," katanya kepada Bernama.

Ketika kini, lebih 20,000 pengguna telah mendapat manfaat daripada PAYLATER di 150 peniaga runcit di seluruh 400 lokasi di Malaysia.

“Kira-kira 60 peratus pembelian adalah daripada elektronik dan gajet, 20 peratus daripada aksesori automotif, 10 peratus daripada fesyen dan pakaian dan bakinya adalah barangan lain," katanya.

Wong berkata PAYLATER bukan sahaja menerima kad kredit dan kad debit tetapi juga debit langsung. 

Pada masa hadapan, Wong berkata, syarikat itu menyasarkan lebih 250 peniaga runcit yang menawarkan PAYLATER kepada penggunanya menjelang akhir tahun.

“Sasaran kami bukan sahaja mendapatkan lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana mikro tempatan bekerjasama sebagai rakan niaga kami yang menawarkan pelan ansuran kepada pelanggan mereka, tetapi pada masa yang sama mendidik pengguna mengenai perbelanjaan yang berhemah," katanya sambil menambah ini merupakan satu daripada cara untuk membantu PKS mikro mengembangkan perniagaan mereka.

Bagi maklumat lanjut, layari https://paylater.com.my/ atau muat turun aplikasi PAYLATER.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan