EKONOMI

MISC terima kapal pengangkut etana terbesar keenamnya, Seri Elbert

12/04/2021 06:11 PM

KUALA LUMPUR, 6 April  -- MISC Bhd (MISC) telah menerima penghantaran kapal pengangkut etana terbesar keenamnya (VLEC), Seri Elbert dari limbungan Hyundai Heavy Industries (HHI) di Ulsan, Korea Selatan. 

Seri Elbert dan kapal-kapal kembarnya, Seri Everest, Seri Erlang, Seri Emei, Seri Emory dan Seri Emperor lahir daripada siri VLEC generasi kedua, yang diperoleh daripada Zhejiang Satellite Petrochemical Co. Ltd (STL) China pada Julai 2020, kata MISC dalam satu kenyataan hari ini. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Yee Yang Chien berkata pencapaian ini terhasil daripada kerja keras dan dedikasi pelbagai pasukan sama ada di laut atau darat, mulai daripada permulaan projek sehinggalah kepada penghantaran Seri Elbert.

"Kami akan terus mewujudkan gelombang yang besar dalam perjalanan kami untuk memberikan perkhidmatan bagi pasaran etana global.

''VLEC kami memainkan peranan penting dalam menangani keperluan untuk pengangkut etana berkapasiti besar dalam rantaian bekalan,'' katanya. 

Seri Elbert sepanjang 98,000 meter padu dan lima kapal kembarnya sedang berada dalam pajakan jangka panjang dengan STL. 

Enam VLEC ini menandakan kemasukan MISC ke China, disamping mengukuhkan kedudukannya sebagai pengendali terbesar VLEC dalam pasaran etana yang semakin berkembang, kata syarikat itu.

Sekarang ini, MISC adalah pemilik armada VLEC yang terbesar seumpamanya di dunia, dengan cabang pengurusan kapal MISC, Eaglestar Shipmanagement Gas (S) Pte Ltd sebagai pengurus kapal yang dilantik bagi mentadbir kesemua enam VLEC tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan