AM

HDC, UMT jalin kerjasama kembangkan industri halal di Terengganu

06/04/2021 05:23 PM

KUALA TERENGGANU, 6 April -- Industri halal di Terengganu bakal mengorak langkah lebih jauh melalui kerjasama yang termeterai antara Halal Development Corporation Berhad (HDC) dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk mewujudkan Pusat Inovasi Halal di negeri itu.

Pengerusi HDC Datuk Mahmud Abbas berkata melalui Pusat Inovasi Halal itu, HDC menyasarkan lebih banyak syarikat dan perniagaan dalam pelbagai bidang di Terengganu bakal meneroka industri halal yang membuka lebih banyak peluang untuk produk mereka menembusi pasaran antarabangsa.

“Buat masa ini hanya lebih kurang 20 syarikat dari Terengganu yang terlibat dalam industri halal. Jadi melalui MoU ini kita menyasarkan antara 300 hingga 500 permohonan yang berkualiti dari negeri ini untuk mendapatkan sijil halal daripada Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dalam tempoh setahun ini.

“Melalui perjanjian ini juga, HDC akan membantu meningkatkan kapasiti dan keupayaan syarikat-syarikat tersebut untuk menembusi pasaran luar negara kerana kita telah ada rakan-rakan luar negara yang memang sentiasa menunggu produk-produk halal dari Malaysia,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Jelajah Halal Malaysia 2021 Terengganu, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman, Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Noor Aieni Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif HDC Hairol Ariffein Sahari.

Mahmud berkata kerjasama dengan UMT itu juga bakal melahirkan lebih ramai tenaga pakar dalam industri halal seperti eksekutif halal yang perlu dilantik oleh syarikat bagi memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh Jakim yang silibus pembelajaran dan latihan akan disediakan oleh universiti tersebut.

Katanya, dalam jangka masa panjang pula pihaknya berharap sebuah kawasan industri halal dapat diwujudkan di Terengganu melalui pelbagai program pendidikan dan pembangunan. 

Dalam pada itu, Mahmud menyeru lebih banyak syarikat dan pengusaha kecil dan sederhana dalam pelbagai bidang di seluruh negara termasuk dari Terengganu supaya menceburi diri dalam penghasilan produk halal. 

“HDC sentiasa bersedia untuk membantu syarikat-syarikat ini sekiranya mereka berminat menceburi industri halal. Antara yang kita lakukan adalah menyediakan perkhidmatan ‘Halal Integrated Platform’ yang antara lain menyediakan khidmat konsultasi nasihat pakar dan sebagainya. Kita tahu untuk mendapatkan sijil halal bukanlah satu proses yang mudah tetapi kita akan bantu,” katanya. 

Sementara itu, Mohd Nurkhuzaini berkata kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan kerjasama tersebut memandangkan bilangan syarikat yang menceburi industri halal di Terengganu masih rendah.

“YPU (Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu) boleh membekalkan usahawan-usahawan yang bersedia memasuki industri halal. Berdasarkan rekod terdapat lebih 9,000 usahawan yang boleh diketengahkan,” katanya.

Dalam pada itu, Nurkhuzaini berkata pihaknya berharap kerjasama strategik yang terjalin itu dapat membantu menggerakkan pembangunan industri halal dan seterusnya membuka pelbagai peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat Terengganu.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan