BERITA TERGEMPAR | Thailand's Constitutional Court Tuesday suspended PM Paetongtarn pending deliberation of a leaked phone call case | |
IPOH, 2 April -- Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) hari ini melancarkan sistem bayaran secara dalam talian menerusi 'Jompay' bagi pembayaran e-Permit.
Pengarahnya, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata sistem permohonan e-Permit telah mula diguna pakai pada 2019, namun usaha menambahbaik perkhidmatan diteruskan menerusi 'Jompay' dan telah dibangunkan hasil kerjasama pintar dengan Ambank Islamic Berhad.
Beliau berkata mengikut rekod, sebanyak 2,412 permohonan e-Permit telah diterima sejak diperkenalkan pada 2019 manakala sejumlah 2,308 permohonan telah diluluskan dan jumlah itu dijangka akan meningkat selepas penggunaan aplikasi 'Jompay'.
"Antara aktiviti yang boleh menggunakan perkhidmatan pembayaran secara dalam talian adalah permohonan permit kebenaran memasuki Hutan Simpanan Kekal bagi aktiviti pendakian, kajian dan kerja-kerja hutan.
"Selain itu, bayaran bagi menggunakan kemudahan disediakan di Taman Eko Rimba seperti sewaan dewan, tapak khemah, penginapan dan lain-lain perkhidmatan yang disediakan," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2020, Penghargaan Pesara Tahun 2021 dan pelancaran sistem berkenaan di sini malam ini.
Majlis yang dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim itu turut dihadiri Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Mohd Ridza Awang.
Pada majlis itu, sebanyak 56 kakitangan telah dipilih untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang manakala seramai 20 kakitangan jabatan itu turut diraikan sempena persaraan mereka.
Mohamed Zin berkata sistem pembayaran dalam talian yang dibangunkan itu adalah satu daripada pendekatan baharu JPNPk bagi menyampaikan perkhidmatan secara efisyen.
"Ia seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri Perak untuk memastikan persekitaran sistem sedia ada seiring dengan kehendak rakyat, perubahan ekonomi dan perkembangan teknologi semasa selaras dengan lima teras utama dalam Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang telah dilancarkan Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad, baru-baru ini," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial