AM

EAIC umum pemenang pertandingan fotografi

29/03/2021 02:13 PM

PUTRAJAYA, 29 Mac -- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengumumkan tiga pemenang hadiah utama pertandingan fotografi bertemakan Penguat Kuasa & Masyarakat #mulakandenganintegriti, yang berlangsung mulai 4 Dis tahun lepas hingga 8 Jan yang lalu.

Pemenang pertama bagi pertandingan itu diberikan kepada Munson Lasmat, Irwan Majid (kedua) dan Khairul Ikmal Khairuddin (ketiga), dengan masing-masing membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000, RM750 dan RM500, cenderamata barangan EAIC dan sijil penyertaan.

Ketua Pegawai Eksekutit EAIC Norhayati Ahmad berkata, pertandingan berkenaan dianjurkan bertujuan untuk memupuk kesedaran masyarakat dan penguatkuasa, mengenai integriti serta keyakinan komuniti terhadap mutu perkhidmatan agensi penguatkuasaan di negara ini.

Beliau berkata sebanyak 125 penyertaan telah dihantar oleh orang awam sepanjang tempoh pertandingan berlangsung, dengan jumlah keseluruhan 317 foto.

“Seramai 30 peserta lain turut menerima hadiah sagu hati berupa cenderamata barangan EAIC beserta sijil penyertaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Norhayati berkata, EAIC telah menerima penyertaan foto yang memaparkan penguatkuasa memberikan perkhidmatan kepada masyarakat, ketika sedang bertugas di lapangan yang menepati tema pertandingan.

“Ini menepati tema pertandingan iaitu Penguat Kuasa & Masyarakat, yang mana subjek dan mesej dalam foto perlulah memaparkan amalan terbaik penguat kuasa yang berintegriti, daripada perspektif masyarakat,” katanya.

Untuk melihat koleksi foto pemenang pertandingan, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi EAIC di www.eaic.gov.my atau melalui laman media sosial ‘eaicofficial’ di Facebook, Instagram dan Flickr. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan