EKONOMI

KLIA Crazy Sale kembali diadakan mulai 25 Mac dengan diskaun sehingga 70 peratus

23/03/2021 05:31 PM

SEPANG, 23 Mac -- Malaysia Airports Holdings Bhd sekali lagi menganjurkan acara ‘KLIA Crazy Sale,’ yang menawarkan diskaun sehingga 70 peratus di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada bulan ini sebagai antara usaha untuk membantu peruncit ketika sempadan antarabangsa masih ditutup.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia memaklumkan jualan yang akan diadakan bermula Khamis ini sehingga 28 Mac di Terminal 1 akan menawarkan produk runcit eksklusif yang tidak dikenakan cukai seperti minyak wangi dan kosmetik, coklat dan manisan, pakaian dan aksesori fesyen serta produk gaya hidup seperti peranti elektronik.

Produk-produk ini adalah daripada lapan peruncit utama lapangan terbang termasuk Eraman, Valiram, Dimensi Eksklusif, Heinemann, Sprint Cass, DR Group, Karyaneka dan Retail One.

Jualan kali ini turut menampilkan kehadiran sulung jenama tempatan, Batik Boutique bagi pasaran  lapangan terbang, kata pengendali lapangan terbang itu.

Malaysia Airports telah berjaya menganjurkan dua acara KLIA Crazy Sale pada tahun lepas.

Pengurus Besar Kanan bagi Perkhidmatan Komersial Hani Ezra Hussin berkata kedua-dua acara jualan pada 2020 itu menerima maklum balas positif memandangkan Malaysia Airports membenarkan akses beli-belah kepada orang awam di lapangan terbang itu tanpa memerlukan pas masuk.

“Kami mengalu-alukan lebih 19,000 pembeli dan menyaksikan peningkatan purata jualan harian kepada 18 peratus daripada jualan pertama sehingga kedua,” katanya.

Sebagai langkah keselamatan, Malaysia Airports berkata, jumlah pembeli yang dibenarkan masuk di kawasan jualan pada satu-satu masa adalah terhad.

“Bagi memastikan keselamatan pembeli, pengunjung perlu melakukan pengimbasan terma, mengimbas kod QR MySejahtera, memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial,” katanya dan menurutnya kanak-kanak di bawah umur 13 tahun tidak dibenarkan masuk ke kawasan acara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan