ALOR SETAR, 21 Mac -- Kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah diingatkan supaya mengekalkan integriti dalam menjalankan tanggungjawab memelihara dan memulihara sumber hutan di negeri ini daripada aktiviti haram.
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata integriti penting untuk mengawal selia hutan negeri seluas 341,976 hektar yang berstatus Hutan Simpan Kekal dengan lebih kurang 133,791 hektar dikelaskan sebagai Hutan Perlindungan.
“Hutan simpan di Kedah ini kaya dengan kepelbagaian hidupan, kadang-kadang ada yang ambil kesempatan untuk menipu. Ramai jadi kaya dan berjaya dengan cara telus tetapi ada juga cari jalan mudah untuk lipatgandakan kekayaan mereka.
“Contohnya, kayu bernilai tinggi diisytiharkan rendah. Kalau sebatang pokok mungkin tidak terasa kesannya tetapi kalau ia melibatkan puluhan ribu pokok, banyak hasil negeri akan hilang daripada perbuatan tersebut,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri Program Santai Menteri Besar Kedah Bersama Warga Perhutanan Negeri sempena Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Kedah 2021 di Dewan Seri Mentaloon, di sini.
Muhammad Sanusi juga menggesa Jabatan Perhutanan negeri menjaga khazanah hutan di negeri ini dengan bersungguh-sungguh kerana jumlahnya yang semakin berkurangan dari semasa ke semasa.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi yang diminta mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) Datuk Ir Jaseni Maidinsa berhubung saranan penubuhan pihak berkuasa bebas bagi mengurus tadahan air di Ulu Muda berkata kawasan tersebut adalah milik Kedah dan patut diuruskan oleh negeri ini.
“Ulu Muda ini Kedah punya jadi kenapa hendak campur urusan negeri lain dan saya hendak tuntut hak Kedah sahaja. Cadang boleh tetapi yang penting Kedah dapat bayaran kerana kalau mereka (Pulau Pinang) bayar air mentah itu kita tidak akan bising lagi,” katanya.
Jaseni sebelum ini dilapor menyarankan kerajaan pusat mempertimbang penubuhan Lembaga Lembangan Ulu Muda (LLUM) untuk menguruskan Ulu Muda secara profesional dan lestari sebagai kawasan tadahan air terpenting di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial