AM

Pasang meter pintar percuma, hubungi TNB untuk pengesahan ID pemasang meter

18/03/2021 11:09 AM

 


KUALA LUMPUR, 18 Mac -- Pemasangan meter pintar yang sedang giat dilaksanakan di Lembah Klang adalah percuma dan hanya mengambil masa sekurang-kurangnya satu jam, menurut Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Semua pemilik kediaman yang terlibat di kawasan pemasangan meter pintar sahaja yang akan menerima notis makluman sebelum  pemasangan dilakukan bagi tujuan pemakluman dan temujanji,”  kata Pengarah Projek Advanced Metering Infrastructure (AMI)  TNB, Mohamed Ghous Ahmad.

Tambah beliau, bagi kediaman bertingkat seperti kondominium dan pangsapuri, makluman pemasangan meter pintar akan dilakukan pihak TNB kepada persatuan penduduk  atau badan pengurusan bangunan sebelum pemasangan dibuat.

TNB merupakan agen pelaksana program pemasangan meter pintar dalam usaha kerajaan memperkasa pengguna (empowering users) dan meningkatkan pendigitalan dalam kalangan rakyat. Ia dilaksanakan di bawah mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR).

Ghous menasihatkan orang ramai untuk memahami proses pemasangan meter pintar ini bagi mengelakkan kemungkinan mereka didatangi oleh pihak yang menyamar untuk tujuan tidak baik.

Pemasangan meter pintar akan dilakukan oleh satu pasukan yang terdiri daripada dua orang petugas bertauliah dan terlatih, berpakaian seragam serta membawa kad pengenalan diri yang menyatakan mereka adalah kontraktor pemasangan meter pintar,  kata Ir. Ghous kepada Bernama baru-baru ini.

“Pasukan yang dihantar terdiri daripada anggota kerja TNB sendiri atau para kontraktor lantikan TNB. Bagi kontraktor ini, mereka wajib memakai pakaian seragam berwarna oren dan vest serta perlu menunjukkan kad pengenalan diri terlebih dahulu.

“Pengguna juga berhak dan wajib menghalang  mana-mana dari pasukan ini memasuki kediaman dan premis mereka sekiranya mereka gagal berbuat demikian (pakaian seragam dan kad pengenalan diri).  Pengguna boleh menghubungi TNB CareLine di talian 1-300-88-5454 sekiranya mereka ragu-ragu dan ingin mendapatkan pengesahan, kata  Ghous.

Beliau juga menerangkan bacaan meter pintar adalah tepat dengan setiap meter diuji serta ditentukur berdasarkan piawaian oleh SIRIM;
mematuhi Akta Timbang dan Sukat, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP); serta melalui pensijilan Certificate of Approval (COA) oleh Suruhanjaya Tenaga

Sistem komunikasi meter pintar pula disahkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan