KUALA LUMPUR, 15 Mac -- Principal Asset Management Bhd (Principal) hari ini melancarkan produk terbaharunya Dana Principal e-Cash, penyelesaian pelaburan eWallet pertama dalam industri itu di negara ini.
Syarikat tersebut berkata, Dana Principal e-Cash itu boleh didapatkan dalam tempoh terdekat ini hasil perkongsian strategik bersama TNG Digital Sdn Bhd, syarikat di bawah Touch ‘n Go Group.
Ketua Pegawai Eksekutif Principal Asset Management Munirah Khairuddin dalam satu kenyataan hari ini berkata: “Saya amat teruja dengan kerjasama kami bersama Touch ‘n Go – teknologi kini memainkan peranan yang penting dalam setiap aspek kehidupan, justeru itu, matlamat kerjasama jangka masa panjang ini adalah untuk memacu pembangunan dalam penyelesaian pelaburan eWallet untuk rakyat Malaysia .
“Dalam usaha kami untuk menangani segala keperluan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kewangan mereka, setiap rakyat Malaysia kini boleh mula untuk melabur dan memupuk tabiat melabur, berjimat dan berbelanja,” katanya.
TNG Digital adalah pemilik dan pengendali Touch ‘n Go eWallet, peneraju dalam aplikasi pembayaran digital di Malaysia.
“Principal akan terus memberikan komitmen dalam meneraju transformasi digital untuk menyediakan penyelesaian pelaburan holistik yang mampu milik demi membantu rakyat Malaysia untuk mengecapi matlamat kewangan jangka masa panjang mereka.
“Kami juga akan terus berusaha mencapai potensi yang terbaik dalam penyelesaian pelaburan digital dengan mengambil kira keperluan rakyat yang sentiasa berubah,” kata Munirah.
Pada 2019, Principal Asset Management memperkenalkan dana terpilih menerusi platform pelaburan dalam talian layan diri Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, i-invest, bagi menggalakkan rakyat Malaysia melabur secara digital demi keperluan persaraan mereka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial