JENAYAH & MAHKAMAH

Pengusaha kantin dilepas, dibebaskan tuduhan mudaratkan kesihatan enam pelajar

11/03/2021 03:00 PM

KAMPAR, 11 Mac -- Seorang pengusaha kantin dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, daripada pertuduhan menyediakan makanan yang memudaratkan kesihatan enam pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kampar pada 2018.

Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap Azman Rizal Azizi, 52, selaku orang kena saman pada akhir kes pendakwaan.

"Pendakwaan dibuat pada 14 Mei 2020 manakala makanan diambil untuk dianalisis pada 10 Oktober 2018. Disebabkan pendakwaan dibuat melebihi 150 hari daripada makanan diambil untuk dianalisis, maka mahkamah memutuskan pendakwaan adalah gagal.  

"Oleh yang demikian, setelah mendengar semua keterangan saksi dan mempertimbangkan semua hujahan, mahkamah memutuskan kamu (tertuduh) dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan ini tanpa perlu dipanggil untuk pembelaan," katanya.  

Mengikut pertuduhan, Azman didakwa menyediakan makanan yang memudaratkan kesihatan enam pelajar SMK Seri Kampar di kantin sekolah berkenaan pada 4 petang, 10 Okt 2018.

Tertuduh selaku pemilik Syarikat Alamasaq Services Sdn Bhd didakwa melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 13(1) Akta Makanan 1983 yang memperuntukkan hukuman di bawah Subseksyen 13(1) Akta Makanan 1983 iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara hingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kesihatan Negeri Perak Nurulhisham Shamsuddin manakala Azman diwakili peguam bela Esmael Shah Shahrudin.

Dalam tempoh perbicaraan sebelum ini, pihak pendakwaan telah memanggil enam saksi bagi memberi keterangan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan