JENAYAH & MAHKAMAH

Sarjan tak mengaku terima suapan RM2,000

10/03/2021 12:45 PM

KUANTAN, 10 Mac -- Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2,000, tahun lepas.

Pengakuan Mohd Ridhuan Kasah, 43, yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan kira-kira 48 kilometer dari sini, direkodkan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain. 

Tertuduh didakwa menerima suapan itu pada 18 dan 19 Sept 2020 di bilik pegawai penyiasat IPD Pekan dan di sebuah restoran, dengan setiap transaksi melibatkan RM1,000, daripada seorang suspek lelaki sebagai dorongan untuk tertuduh tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap dirinya.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. 

Peguam Muhammad Saifuldin Ab Rahman merayu jaminan RM10,000 yang ditawarkan Pegawai Pendakwa SPRM Kamariah Seman dikurangkan atas alasan tertuduh dengan pendapatan bulanan sekitar RM1,500 menanggung keluarga termasuk empat anak yang bersekolah. 

"Tertuduh telah berkhidmat selama 22 tahun dan difahamkan ini merupakan kali pertama dituduh atas kesalahan rasuah. Tertuduh yang akan dijamin oleh isterinya berjanji untuk hadir setiap kali perbicaraan berjalan," katanya. 

Ahmad Zamzani membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tertuduh melapor diri di balai polis setiap bulan dan menetapkan 31 Mac ini sebagai sebutan semula kes. 

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan