AM

Suri rumah usaha pati limau kasturi jana pendapatan

09/03/2021 10:12 AM

KANGAR, 9  Mac  -- Minat terhadap aktiviti bercucuk tanam sejak kecil mendorong seorang suri rumah untuk mengusahakan tanaman limau kasturi seluas 0.4 hektar di Kampung Santan dekat sini.

Wan Mastura Megat, 34, berkata dia mula mengusahakan tanaman itu sejak 2016 dan kini mempunyai 200 pokok.

“Sebelum  ini saya hanya menjual buah di pasar borong namun disebabkan buah terlampau banyak hingga mencecah satu tan sebulan, saya cuba hasilkan pati limau kasturi bagi mengelak pembaziran apabila buah bertukar menjadi warna kuning (masak ranum).

“Saya tidak sangka berjaya mendapat sambutan luar biasa khususnya dari kaum wanita yang gemar minum pati limau kasturi untuk kesihatan dan kecantikan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Katanya, dalam jangkamasa kurang sebulan sebanyak 400 botol pati limau kasturi berjaya dijual pada harga RM6 sebotol.

Wan Mastura berkata, selain pasaran di sekitar negeri Perlis, pati limau kasturinya turut menerima permintaan pelanggan dari Kuala Lumpur dan bercadang untuk memberi fokus kepada penghasilan pati limau kasturi kerana lebih menguntungkan.

“Pati ini kami hasilkan tanpa tambahan air mahupun bahan pengawet dan ia bagus untuk kesihatan kerana buah limau kasturi mengandungi vitamin C yang tinggi,” katanya.

Wan Mastura berkata dia sedia berkongsi ilmu dan nasihat kepada mereka yang ingin mencuba tanaman limau kasturi kerana ia mudah dijaga, berbuah sepanjang tahun dan tidak memerlukan kos tinggi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan