SUKAN

Liga Super: MUFC masih mencari rentak

07/03/2021 10:06 AM

MELAKA, 7 Mac  -- Pengendali Melaka United Football Club (MUFC) Zainal Abidin Hassan mengakui pasukannya masih mencari rentak selepas sekadar seri 1-1, ketika bertemu Sabah FC yang turun tanpa pemain import pada aksi sulung Liga Super mereka, malam tadi.

Menzahirkan rasa sedikit kecewa, beliau berkata pemainnya dilihat tidak memanfaatkan banyak peluang dan kelebihan, meskipun berjaya menyamai kedudukan selepas ketinggalan 1-0.

MUFC bangkit menyamakan kedudukan menerusi S. Kumaahran pada minit ke-63 untuk berkongsi satu mata, selepas Sabah FC mendahului hasil jaringan Hamran Peter sebelum tamat separuh masa pertama dalam pertemuan di Stadium Hang Jebat di sini.

“Kita masih mencari persefahaman pemain, apa yang penting pada saya ialah kami perlu pertingkatkan tahap dan mutu permainan pasukan bagi memburu mata penuh. Jadi, selepas ini saya akan lakukan ‘post mortem’ pasukan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan, malam tadi.

Zainal Abidin berkata dalam tempoh singkat menjelang perlawanan kedua Rabu ini, para pemainnya diharap cergas dan bebas daripada kecederaan, supaya tidak merencatkan persiapan pasukan.

“Dalam tempoh lima perlawanan awal ini, jadual amat singkat dan padat, tetapi adalah penting untuk kita memastikan pasukan tidak keciciran mata berharga,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Sabah FC Kurniawan Dwi Yulianto berkata satu mata yang dikutip amat penting untuk meningkatkan moral pasukan, bagi menghadapi perlawanan seterusnya.

“Kita hanya bergantung sepenuhnya kekuatan pemain tempatan tanpa kehadiran pemain import untuk perlawananan ini, jadi secara keseluruhan saya berpuas hati apatah lagi kita berkunjung ke tempat lawan.

“Kesemua pemain import masih menjalani kuarantin dan kita harap Insya-Allah dapat gunakan khidmat mereka pada aksi akan datang,” katanya.

MUFC dijadualkan bakal bertemu PJ City FC pada perlawanan kedua Rabu ini di tempat lawan, manakala Sabah bakal berkunjung ke Stadium Darul Aman bagi aksi menentang Kedah FC, pada Selasa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan