KUALA LUMPUR, 4 Mac -- Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) memfokuskan pada aspek pengurusan trafik dalam siasatan terhadap insiden di projek pembinaan Sungai Besi-Ulu Klang Elevated Expressway (SUKE) semalam yang menyebabkan dua wanita terbunuh.
CIDB dalam kenyataan hari ini memberitahu siasatan dibuat mengikut Seksyen 34B dan 34C Akta CIDB berkaitan kewajipan kontraktor dalam memastikan keselamatan bangunan dan kerja pembinaan sama ada semasa atau selepas kerja pembinaan dijalankan.
Jika didapati bersalah, kontraktor boleh didenda hingga RM500,000.
“Pengurusan trafik yang baik semasa kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan adalah kritikal bagi memastikan ia tidak membahayakan pengguna lebuh raya,” kata Ketua Eksekutif CIDB Datuk Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid dipetik oleh kenyataan itu.
Beliau berkata CIDB memandang serius perkara itu dan bersedia bekerjasama dengan semua agensi berkaitan serta penggiat industri untuk menambah baik standard serta garis panduan sedia ada mengenai pengurusan trafik semasa kerja-kerja pembinaan dijalankan.
Menurut kenyataan itu, siasatan pasukan penguat kuasa CIDB di lokasi kejadian semalam mendapati satu jentera Loader yang melalui Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Ulu Klang melanggar kerangka keluli yang menyanggar platform crosshead.
Semasa pelanggaran, beberapa struktur kerangka keluli jatuh dan menghempap van pekerja yang menghala ke Sungai Besi
Kejadian kira-kira 6 petang itu menyebabkan dua wanita maut manakala dua lagi wanita serta seorang lelaki yang merupakan pemandu van tersebut, cedera.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial