KUALA LUMPUR, 2 Mac -- Rakyat Malaysia disaran kekal proaktif dan mendalami pengetahuan pengurusan kewangan untuk merancang masa depan dan memperkukuh langkah pemulihan berikutan ketidakpastian ekonomi, kata syarikat perkhidmatan maklumat, Experian Information Services (Malaysia).
Ketua Pegawai Eksekutifnya Dawn Lai berkata skor kredit lebih lemah pada tahun lepas yang terjejas akibat COVID-19, terutamanya untuk segmen berusia 22 hingga 28 tahun.
“Bagaimanapun, berbanding tahap risiko kredit pada 2020 dengan 2018, kami melihat lebih banyak penambahbaikan untuk semua kumpulan usia terutamanya rakyat Malaysia yang berusia lebih matang.
“Hampir 70 peratus individu berusia 29 hingga 35 tahun telah mengekalkan atau menambah baik tahap risiko mereka sejak tiga tahun kebelakangan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lai berkata pelbagai inisiatif dan langkah rangsangan yang diperkenalkan kerajaan telah membantu skor risiko kredit untuk tetap kukuh di sebalik tahun 2020 yang mencabar.
Bagaimanapun beliau menasihatkan bahawa dalam jangka panjang, apabila bantuan ini berkurangan, impak sebenar mungkin akan muncul dan mempengaruhi ekonomi dan seterusnya kelestarian syarikat dan pekerjaan.
“Kami menggalakkan rakyat Malaysia agar mula mengambil langkah aktif untuk mengawal portfolio kredit mereka pada 2021 berikutan masih terdapat risiko dan ketidakpastian dalam ekonomi akibat impak pandemik ini," katanya.
Sementara itu, menurut syarikat ini, usaha digitalisasi oleh bank dan pengguna telah menyebabkan perubahan dalam campuran kredit rakyat Malaysia pada semua segmen usia sejak tiga tahun kebelakangan ini.
“Kebanyakan pengguna meningkatkan penggunaan kemudahan kredit jangka pendek seperti kad kredit pada 2020 berikutan kekangan fizikal akibat COVID-19, yang mempercepatkan perbankan dan transaksi digital,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial