PUTRAJAYA, 24 Feb -- Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, program imunisasi terbesar dalam sejarah negara bermula secara rasmi petang ini bagi membendung penularan pandemik itu.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadualkan menjadi individu pertama di negara ini menerima vaksin itu di Malaysia di bawah program berkenaan di Pejabat Kesihatan Presint 11, di sini, kira-kira 3 petang.
Fasa pertama ini akan berlangsung hingga April depan menyaksikan lebih 500,000 anggota barisan hadapan menerima vaksin tersebut; fasa kedua bermula dari April hingga Ogos, melibatkan warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi selain orang kurang upaya, manakala fasa ketiga dijadual dari Mei hingga Februari 2022 untuk kumpulan berusia 18 tahun dan ke atas.
Berikut adalah perkembangan terkini program berkenaan :
3.40 petang: Sidang media Khairy, Dr Adham dan Dr Noor Hisham selesai.
3.39 petang: Orang ramai disaran muat turun dan kemas kini aplikasi MySejahtera bagi pendaftaran suntikan vaksin COVID-19 - Khairy.
3.38 petang: Setakat 2.45 petang 24 Feb, 465,081 orang telah berdaftar dengan MySejahtera untuk menerima vaksin COVID-19 - Khairy.
3.34 petang: Pendaftaran untuk suntikan vaksin COVID-19 melalui www.vaksincovid.gov.my dan talian hotline akan bermula 5 Mac - Khairy.
3.21 petang: Ketika bercakap ringkas kepada petugas media sejurus proses vaksinasi, PM Muhyiddin menyeru semua pihak supaya mendukung usaha program imunisasi bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19 di Malaysia.
3.18 petang: PM Muhyiddin zahir rasa syukur selepas terima suntikan vaksin COVID-19, seru rakyat mendaftar untuk menerima suntikan.
3.19 petang: PM Muhyiddin yakin vaksin COVID-19 selamat dan berkesan.
3.15 petang: PM Muhyiddin Yassin bersama Dr Noor Hisham serta petugas kesihatan memegang plakad "Saya telah divaksin" dan menunjukkan kad vaksinasi sebagai tanda simbolik individu terawal di Malaysia menerima suntikan vaksin Corminaty buatan Pfizer-BioNTech.
2.57 petang: Penolong Pegawai Perubatan di Pejabat Kesihatan Putrajaya, Khairul Asraf Mohd Yasin dan Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Presint 9, Dr Tan Yee Ling turut disuntik vaksin.
2.54 petang: Jururawat Klinik Kesihatan Presint 9, Sheilla Mellissa Sikin diberikan suntikan vaksin.
2.51 petang: KP Kesihatan Dr Noor Hisham terima suntikan vaksin.
2.50 petang: Pemandu di Pejabat Kesihatan Putrajaya, Clement Marai Francis terima suntikan vaksin.
2.45 petang: Selesai menerima suntikan vaksin, PM Muhyiddin dibawa ke stesen pemerhatian.
2.43 petang: PM Muhyiddin terima suntikan vaksin COVID-19 menandakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, iaitu program vaksinasi terbesar di Malaysia bermula secara rasmi.
2.38 petang: PM Muhyiddin bersama Dr Noor Hisham berada di stesen ketiga iaitu bagi proses konsultasi dan persetujuan imunisasi.
2.32 petang: PM Muhyiddin berada di auditorium pusat kesihatan berkenaan untuk taklimat penerimaan vaksin.
2:30 petang: PM Muhyiddin melalui dua stesen di Pusat Pemberian Vaksin (PPV). Stesen pertama bagi saringan gejala dan suhu, manakala stesen kedua untuk pendaftaran mengesahkan kehadiran bagi suntikan vaksin COVID-19.
2.27 petang: Dr Noor Hisham mendaftar untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.
2.25 petang: PM Muhyiddin tiba di Pejabat Kesihatan Putrajaya pada 2.25 petang untuk melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan serta menerima suntikan vaksin
2.20 petang: Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin tiba di Pejabat Kesihatan Putrajaya sempena pelancaran program vaksinasi berkenaan.
2.10 petang: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba tiba di Pejabat Kesihatan Putrajaya sempena pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
2 petang: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah tiba di Pejabat Kesihatan Putrajaya, dan dijangka terima suntikan vaksin COVID-19.
1.10 tengah hari: Petugas Kementerian Kesihatan tiba di Pejabat Kesihatan Putrajaya membawa vaksin Pfizer-BioNTech untuk memulakan fasa pertama program vaksinasi kebangsaan.
1.05 tengah hari: Kenderaan membawa vaksin COVID-19 tiba di Pejabat Kesihatan Putrajaya di Presint 11 untuk program vaksinasi.
12.55 tengah hari: Pengamal media mula berkumpul di Pejabat Kesihatan Putrajaya untuk membuat liputan majlis pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial