AM

JKM Kedah cari waris dua bayi perempuan

24/02/2021 02:14 AM

ALOR SETAR, 23 Feb  -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah sedang mengesan ibu bapa, waris atau pihak bertanggungjawab ke atas dua bayi perempuan yang ditemukan ditinggalkan di Langkawi dan Kuala Kedah, baru-baru ini.

Bahagian Kanak-Kanak JKM Kedah dalam kenyataan hari ini memaklumkan bayi pertama, yang kini berusia 22 hari, ditemukan di depan sebuah rumah di Kampung Nyiur Chabang, Langkawi pada kira-kira 10 malam 2 Feb lepas.

Bayi kedua, yang kini berusia 18 hari, pula ditemukan di Kampung Hilir, Kubang Rotan, Kuala Kedah pada kira-kira 4.30 petang 6 Feb lepas.

“Berdasarkan pemeriksaan pegawai perubatan, anggaran masa kelahiran bayi yang diselamatkan di Langkawi adalah pada 9 malam hari yang sama (ditemukan) dengan berat 2.3 kilogram (kg) dan ukuran panjang 49 sentimeter (cm).

“Anggaran masa kelahiran bayi yang diselamatkan di Kuala Kedah pula adalah pada 3 petang hari yang sama (ditemukan) dengan berat 2.82 kg dan ukuran panjang 45 cm,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut JKM telah membuat pendaftaran sijil kelahiran bagi kedua-dua bayi dengan yang dilahirkan di Langkawi diberi nama Miqaila Amal manakala bayi dari Kuala Kedah dinamakan Sabrine Amal.

Kedua-dua bayi kini berada di bawah jagaan sementara selama 30 hari di Tempat Selamat, Institusi JKM selepas Pelindung Kanak-Kanak JKM mendapat perintah Mahkamah di bawah Perenggan 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 sehingga perintah mahkamah yang seterusnya.

Pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kedua-dua bayi diminta tampil dan menghubungi Pelindung Kanak-Kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar di talian 04-7202 370 atau Pelindung Kanak- Kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Langkawi di talian 04-9666 325.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan