KUALA LUMPUR, 20 Feb -- Sebanyak 10 taman perumahan di sekitar Jalan Telok Ira, Temerloh, Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai esok (21 Feb) hingga 6 Mac.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata taman perumahan yang terlibat ialah Taman Desa Bangau, Taman Seberang Damai, Taman Kenari, Taman Seberang Temerloh, Taman Jaya 7, Taman Jaya 2, Taman Jaya 3, Taman Jaya 4, Taman Kelisa dan Desa Bangau.
"KKM (Kementerian Kesihatan) mengesahkan terdapat peningkatan kes positif COVID-19 secara mendadak yang hingga kini sebanyak 72 kes telah dilaporkan melibatkan penduduk yang tinggal di taman-taman perumahan ini.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk yang terlibat dan untuk mengawal jangkitan dalam komuniti," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan menamatkan PKPD di Bandar Raub Perdana, Raub, Pahang hari ini, lima hari lebih awal daripada tarikh dijadualkan tamat iaitu pada 25 Feb.
Sehingga kini, katanya KKM telah melaksanakan 287 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak tiga kes positif telah direkodkan di lokaliti tersebut.
Sementara itu, memperincikan mengenai jumlah tangkapan ingkar arahan PKP, Ismail Sabri berkata seramai 461 lagi individu ditahan.
Bagi Op Benteng, 11 pendatang tanpa izin dan tiga tekong ditahan selain rampasan lapan kenderaan darat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial