AM

AGONG BERKENAN SEMPURNA MAJLIS PEMASYHURAN BANDARAYA KUANTAN

19/02/2021 02:55 PM

KUANTAN, 19 Feb -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Pemasyhuran bandar raya Kuantan pada Ahad ini.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah. 

Selain itu, turut dijadualkan menghadiri majlis bersejarah itu ialah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin. 

"Majlis pemasyhuran ini diadakan susulan kelulusan diberi oleh kerajaan Persekutuan menerusi mesyuarat Kabinet pada 8 Mei 2019 dan pemilihan tarikh 21 Feb dibuat setelah beberapa kali ia ditunda ekoran pelbagai faktor termasuk situasi pandemik COVID-19.

"Majlis pemasyhuran akan dilaksanakan menurut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat demi membendung wabak COVID-19. Oleh sebab itu, jumlah jemputan dihadkan bagi memastikan pelaksanaan aspek penjarakan fizikal," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini. 

Wan Rosdy berkata kali terakhir majlis seperti itu diadakan ialah pada 1 Sept 1979 atau lebih 40 tahun lepas, sempena menaik taraf Kuantan daripada sebuah bandar kepada perbandaran. 

Sehubungan itu, Wan Rosdy berharap penduduk Pahang dapat bersama-sama berbangga dengan majlis bersejarah itu sungguhpun diadakan dalam skala sederhana.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan