AM

Mahkamah arah Rosmah bela diri terhadap pertuduhan rasuah babitkan projek solar

18/02/2021 09:13 PM

KUALA LUMPUR, 18 Feb  -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan Datin Seri Rosmah Mansor membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Rosmah, 69, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dan jika pertuduhan itu tidak disangkal atau diperjelas, akan membawa kepada sabitan.

“Oleh itu, saya memerintahkan tertuduh membela diri,” kata beliau yang kemudian menetapkan sembilan hari antara 9 Jun dan 15 Julai untuk kes pembelaan.

Rosmah memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi. Terdahulu, Rosmah dimaklumkan bahawa beliau mempunyai tiga pilihan - berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan; memberi keterangan secara tidak bersumpah dari kandang tertuduh tanpa disoal balas oleh pendakwaan; atau memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dengan pendakwaan diberikan peluang untuk mengemukakan soalan semasa pemeriksaan balas.

Beliau berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holding iaitu Saidi Abang Samsudin.

Rasuah itu didakwa diterima melalui bekas pegawai khas beliau Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pasukan pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram sementara peguam Datuk Jagjit Singh mengetuai pasukan pembelaan.

Selepas Mohamed Zaini mengumumkan keputusan itu, Rosmah dikatakan kecewa dan tertekan dengan keputusan mahkamah yang mengarahkan beliau membela diri.

Peguam Jagjit Singh berkata fikiran anak guamnya terganggu dan mereka terpaksa menenangkan beliau.

"Kami terpaksa menenangkan beliau sedikit. Kami meminta beliau kembali ke rumahnya dan menghilangkan semua tekanan itu dan berehat," katanya kepada pemberita selepas itu.

"Saya OK," kata Rosmah sambil menganggukkan kepalanya sebagai menjawab soalan yang dikemukakan Bernama semasa beliau meninggalkan kamar mahkamah.

Rosmah, yang memakai baju kurung kuning dan selendang sepadan, tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta pada 9.14 pagi manakala Najib tiba 10 minit kemudian. Rosmah meninggalkan mahkamah pada 10.39 pagi.

Terdahulu, pada prosiding hari ini, Mohamed Zaini memutuskan bahawa rakaman audio dan transkrip mengandungi ayat "Can I advise you something?" diterima sebagai bukti dalam perbicaraan kes itu.

Rakaman itu, yang dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dipercayai adalah sebahagian daripada perbualan antara Rosmah dan Najib serta telah diperdengarkan oleh pendakwaan semasa bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid memberi keterangan.

Pendakwaan, dalam hujahnya, telah menggesa agar mahkamah menimbang kembali permohonan mereka untuk menerima masuk kedua-dua item (rakaman audio dan transkrip) sebagai eksibit dan mengkaji semula keputusan mahkamah sebelum ini berhubung perkara tersebut.

Hakim itu berkata beliau agak keberatan untuk menerima hujahan pembelaan bahawa mahkamah kini adalah ‘functus officio’ (tugas yang sudah selesai dilaksanakan).

“Dilihat dari perspektif yang tepat, mahkamah hanya boleh menetapkan bahawa ia functus officio apabila ia secara rasmi menyelesaikan perbicaraan.

“Dalam keadaan sekarang, perbicaraan belum tamat, masih berjalan,” katanya.

Hakim Mohamed Zaini berkata bagi hujah berkaitan isu ‘res judicata’ pula, satu konsep yang mungkin menjadi soal biasa dalam perkara berkaitan sivil, ia merujuk kepada keputusan yang telah dicapai di tahap akhir perbicaraan dan tidak lagi boleh dipertikai.

“Saya ingin menambah bahawa konsep ‘res judicata’ dalam prosiding jenayah adalah lebih relevan dalam membangkitkan hujah mengenai pendakwaan dua kali iaitu bahawa seseorang tidak boleh dibicarakan bagi kesalahan yang sama lebih daripada sekali,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan mahkamah bahawa pendakwaan telah menawarkan 10 saksi berpotensi kepada pembelaan termasuk Najib, beberapa pegawai SPRM dan tiga pegawai Maybank.

Ketika ditanya Mohamed Zaini jumlah saksi yang akan dipanggil pembelaan, Jagjit Singh berkata mungkin lima atau enam orang termasuk Najib.

Jagjit Singh juga berkata pembelaan, yang diketuai beliau dan peguam Datuk Akberdin Abdul Kadir, kecewa dengan keputusan mahkamah namun akan berusaha membentangkan kes mereka dengan sebaik-baiknya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan