DUNIA

Kebocoran makmal bukan punca COVID-19: WHO

16/02/2021 05:44 PM

BEIJING, 16 Feb -- Hipotesis virus COVID-19 berpunca daripada kebocoran makmal tidak akan dimasukkan dalam kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada fasa seterusnya, kata ketua misi WHO Peter Ben Embarek pada Isnin.

Pada sidang media, Peter menjelaskan kebocoran makmal diklasifikasikan sebagai "sangat mustahil" untuk dijadikan punca virus itu merebak.

Hipotesis lain yang mempunyai kemungkinan lebih besar akan menjadi tumpuan kajian pasukan pakar WHO, termasuk teori virus merebak melalui hos perantara haiwan serta transmisi menerusi rantaian produk sejuk beku.

Pengarah Program Kecemasan WHO, Michael Ryan berpandangan, kerjasama kumpulan pakar antarabangsa dengan China bertujuan membolehkan dunia lebih memahami asal usul virus serta mengambil iktibar daripadanya.

Sambil menegaskan ia bukan misi siasatan  "salah laku", Ryan  menegaskan WHO perlu menunjukkan rasa hormat kepada kerajaan pelbagai negara.

Beliau turut menggesa pihak terbabit supaya memberi perhatian terhadap kemajuan yang dicapai buat masa ini, di samping mengenal pasti bidang yang perlu diselidik pada masa depan.

“Sekarang kita perlu melihat kepada sains, dan semua pihak harus bekerjasama dan melakukan yang terbaik untuk mencari asal usul virus ”, ujarnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan