EKONOMI

Edotco Malaysia sedia penyelesaian ketersambungan untuk Merdeka 118

15/02/2021 02:40 PM

KUALA LUMPUR, 15 Feb  -- PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd (PMSVB) melantik edotco Malaysia sebagai pembekal aspek ketersambungan teknologi generasi masa depan bagi menara Merdeka 118 yang bakal menjadi bangunan tertinggi di Asia Tenggara apabila siap sepenuhnya pada 2022.

PMSVB yang juga anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), berkata edotco Malaysia akan melakukan kerja-kerja merekabentuk, membekal serta menyelenggara penyelesaian telekomunikasi khusus dalam bangunan (IBS), memudahkan kelancaran ketersambungan bagi menara ikonik tersebut.

“Langkah melengkapkan menara itu dengan teknologi IBS sedemikian akan memastikan liputan lebih meluas di kawasan tertutup seperti ruang bawah tanah dan lif yang dapat meningkatkan pengalaman pengguna,” kata syarikat itu dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, komponen seperti antena, peranti berkaitan serta IBS generasi akan datang itu akan dipasang dalam premis untuk menampung permintaan selain liputan lebih meluas di setiap tingkat menara sebagai persediaan kepada kebersambungan yang lebih giat di masa depan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan Hartanah PNB Rick Ramli menyifatkan lantikan syarikat itu sebagai antara kemajuan penting bagi Merdeka 118 yang kini hampir siap.

Pembangunan menara setinggi 635 meter itu telah siap 70 peratus setakat ini.

“Kami teruja untuk memulakan fasa seterusnya bagi melengkapkan Merdeka 118 dengan teknologi generasi akan datang yang dapat menyokong keperluan komunikasi masa depan.

“Selain itu, kami juga yakin dengan kepakaran teknikal serta penyelesaian inovatif yang dapat memenuhi keperluan dinamik (penghuni) perniagaan serta santai di menara itu,” katanya.

Perkhidmatan oleh edotco itu antara lainnya merangkumi prasarana telekomunikasi bagi menara pejabat, hotel dan pusat beli-belah.

PMVSB berkata kerja-kerja pemasangan bagi IBS itu dijangka dapat disiapkan tepat pada masanya bagi pembukaan menara yang juga mercu tanda itu pada 2022.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan