Oleh Farhana Poniman
GEORGE TOWN, 14 Feb -- Penggantungan sementara peraturan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) Singapura dengan Malaysia tidak akan memberi banyak impak kepada perniagaan di Pulau Pinang untuk jangka masa pendek, menurut Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM).
Pengerusi FMM Pulau Pinang Datuk Jimmy Ong berkata Singapura mempunyai hak untuk menggantung peraturan RGL dengan Malaysia jika terdapat risiko tinggi kepada penularan COVID-19.
RGL bertujuan memudahkan perniagaan penting dan perjalanan rasmi dalam jangka masa pendek.
Ong berkata aktiviti perniagaan antara kedua-dua negara masih dapat diteruskan walaupun terdapat sekatan perjalanan.
“Banyak mesyuarat dijalankan secara maya dan pihak yang berkenaan tidak perlu hadir secara fizikal, kecuali mereka yang terlibat dalam perkhidmatan teknikal.
“Selain itu, penggantungan RGL hanya selama tiga bulan bermula 1 Feb dan akan dikaji semula pada akhir tempoh penggantungan,” katanya kepada Bernama.
Pada 30 Jan, Kementerian Luar Singapura mengumumkan bahawa republik itu akan menggantung peraturan RGL dengan tiga negara iaitu Malaysia, Jerman dan Korea Selatan selama tiga bulan mulai 1 Feb.
Kementerian itu memaklumkan bahawa kerajaan Singapura akan terus memantau situasi global dan menyesuaikan langkah-langkah sekatan sempadannya bagi menangani risiko kes import COVID-19 dan penularan jangkitan kepada komuniti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial