EKONOMI

Mildef perkenal kereta perisai buatan Malaysia

11/02/2021 08:29 PM

KUALA LUMPUR, 11 Feb-- Mildef International Technologies Sdn Bhd, sebuah syarikat Malaysia yang menyediakan perkhidmatan automotif untuk industri pertahanan di negara ini telah membangunkan kenderaan berperisai mobiliti tinggi empat roda (4x4). 

Menurut syarikat itu, kenderaan berperisai Mildef HMAV 4x4 dibangunkan bagi menyelesaikan cabaran sokongan selepas jualan dalam perkhidmatan tentera disebabkan terlalu bergantung kepada pembekal antarabangsa. 

"Selepas bertahun-tahun bekerja keras, kami berbesar hati untuk mengatakan bahawa kami telah berjaya membina dua unit prototaip dan ianya bersedia untuk diuji," kata Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Mohd Nizam Kasa dalam satu kenyataan hari ini.

Pembangunan HMAV telah dibantu oleh agensi pertahanan Malaysia iaitu Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (Stride) serta Angkatan Tentera Malaysia dalam mengesahkan reka bentuk termasuk pembangunan kenderaan mengikut aplikasi standard ketenteraan. 

Selain membekalkan kepada pasaran Malaysia, Mildef merancang untuk menembusi pasaran ASEAN sebelum meneroka peluang bagi mengeksport kenderaan ke rantau lain.

Menurut syarikat itu, HMAV mempunyai platform modular yang boleh disesuaikan mengikut spesifikasi setiap negara.

Syarikat itu telah memberi kontrak kepada pengeluar jentera dan peralatan Amerika Syarikat, Caterpillar untuk membekalkan enjin kenderaan berkenaan, yang disebut sebagai "enjin yang paling mantap dengan teknologi termaju serta lasak yang ada di pasaran." 

Dilengkapi dengan fungsi artileri, grenad dan anti periuk api, ia turut dipasang dengan tenggekan senjata kawalan jauh yang membolehkan turet senjata kenderaan itu menembak secara 360 darjah semasa bergerak. 

-- BERNAMA  

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan