AM

Tiada aduan jualan ayam sejuk beku seludup di Kedah - KPDNHEP

08/02/2021 06:16 PM

ALOR SETAR, 8 Feb -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Kedah tidak menerima sebarang aduan berhubung penjualan ayam sejuk beku yang diseludup dari negara jiran di negeri itu walaupun ada rampasan produk berkenaan di sempadan negara baru-baru ini.

Pengarahnya Rae Morn Verak berkata bagaimanapun pihaknya akan menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada produk berkenaan dijual di pasaran negeri tersebut.

“Isu cubaan seludup ayam sejuk beku ini tindakan diambil oleh agensi lain. KPDNHEP tidak menerima laporan lagi tetapi sekiranya ada aduan, kita akan bekerjasama untuk lakukan pemeriksaan dan mengambil tindakan undang-undang mengikut kapasiti KPDNHEP,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan bekalan ayam di sebuah kilang di Simpang Empat dekat sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kes rampasan hampir 100 tan ayam sejuk beku oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan Bukit Kayu Hitam, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Rae Morn berkata kira-kira 200 pegawai dan anggota KPDNHEP akan melakukan pemantauan dan pemeriksaan di premis-premis runcit di negeri itu bersempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina yang bermula hari ini hingga 16 Feb depan.

Menurutnya, selain penguatkuasaan terhadap peniaga yang menaikkan harga barangan yang tersenarai di bawah skim itu, tumpuan juga akan diberikan kepada peniaga yang gagal mempamerkan tanda harga bewarna merah jambu.

“Sekiranya pengguna berasakan ada peniaga yang melakukan kesalahan, mereka boleh membuat aduan dan laporan bagi membolehkan KPDNHEP mengambil tindakan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan