AM

LELAKI BANGLADESH BUNUH BAPA SAUDARA KERANA SELALU DIBULI DAN DIPUKUL

07/02/2021 08:51 PM

BUKIT MERTAJAM, 7 Feb  -- Lelaki Bangladesh yang ditahan kerana membunuh rakan senegaranya sebelum mayat mangsa ditemukan hampir reput Taman Perindustrian Ringan Juru, di sini Jumaat lepas, dipercayai bertindak sedemikian selepas tidak tahan dibuli mangsa, yang merupakan bapa saudaranya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abd Samad berkata hasil siasatan awal mendapati, mangsa bukan sahaja membuli suspek malah turut memukul lelaki itu.

“Suspek yang berusia 21 tahun itu merupakan anak saudara kepada si mati dan mereka bekerja di kilang pakaian tersebut sejak lima bulan lepas dan menurut lelaki tersebut (suspek) dia bertindak sedemikian kerana tidak tahan dengan sikap mangsa yang selalu membulinya.

“Selain itu suspek mendakwa, bapa saudaranya juga sering marah-marah serta memukulnya jika ada sesuatu yang dia (mangsa) tidak berpuas hati...sebelum kejadian (bunuh) mereka dipercayai bertengkar sebelum bergaduh sehingga suspek memukulnya (hingga mati),” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya suspek bertindak menyembunyikan mayat bapa suadaranya dalam longkang di tepi bangunan kilang tempat mereka bekerja, yang telah dijadikan gudang menyimpan kain serta asrama penginapan pekerja asing itu, bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Shafee berkata lelaki itu pergi bekerja seperti biasa ke kilang pakaian dan tidak melaporkan atau memaklumkan kepada sesiapa berhubung kehilangan bapa saudaranya, sejak dua minggu lepas.

Katanya suspek dan bapa suadaranya mempunyai dokumen yang lengkap untuk bekerja di negara ini, dan dia kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu bunuh.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi melengkapkan kertas siasatan kes itu, sebelum menyerahkannya (kertas siasatan) kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.

Mayat Mohammad Rajib Mia, 29, itu ditemukan oleh pengurus kilang, ketika beliau pergi ke kilang tersebut kira-kira pukul 1.30 tengah hari Jumaat lalu, sebelum menghubungi polis memaklumkan kejadian.

Ekoran penemuan mayat itu, polis menahan rakan senegara mangsa bagi membantu siasatan dan turut merampas sebilah pisau, tukul besi dan sebatang besi sepanjang 0.8 meter yang terdapat kesan darah tidak jauh daripada mayat lelaki itu ditemukan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan