AM

PKP di Sibu dilanjutkan hingga 14 Feb - Uggah

27/01/2021 07:26 PM

KUCHING, 27 Jan -- Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bahagian Sibu yang dijadual tamat Jumaat ini, dilanjutkan sehingga 14 Feb, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata keputusan oleh kerajaan negeri itu dibuat susulan jumlah kes positif di Sarawak masih tinggi serta bilangan kawasan hijau yang semakin berkurangan.

Selain itu, katanya kerajaan negeri juga memutuskan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di bahagian-bahagian lain di Sarawak yang bakal tamat pada Ahad ini, sehingga 14 Feb.

“Setakat hari ini hanya tinggal 11 daripada 40 daerah di Sarawak berstatus hijau. Ini menunjukkan situasi COVID-19 di Sarawak belum lagi terkawal,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini hari ini.

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak berkata hari ini Sarawak merekodkan satu kes kematian akibat COVID-19 di Sibu, menjadikan jumlah keseluruhan kematian meningkat kepada 34 kes.

Katanya negeri itu juga mencatatkan 70 kes positif COVID-19 hari ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Sarawak meningkat kepada 3,774 kes.

Ketika diminta mengulas mengenai trend jangkitan semasa COVID-19 di negeri itu, Uggah berkata gelombang ketiga pandemik itu tidak menentu dengan angka yang naik dan turun.

“(Tetapi) kami diberi taklimat bahawa terdapat petunjuk bahawa trend (kes positif) akan turun. Tetapi saya harap rakyat jangan leka dan rakyat jangan fikir keadaan sudah selamat.  Wabak ini masih belum berakhir,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan