KUALA LUMPUR, 19 Jan -- LOGOS SE Asia Pte Ltd (Logos), syarikat terkemuka yang memiliki kepakaran dalam hartanah logistik di Asia Pasifik telah memeterai usaha sama (JV) dengan rakan kongsi tempatan untuk membangunkan hab logistik, pergudangan dan e-dagang bersepadu yang mampan di Shah Alam, Selangor.
Projek yang akan dibangunkan secara berperingkat itu akan meliputi pembangunan seluas 745,000 meter persegi dan kawasan pajakan kasar kira-kira 505,000 meter persegi merangkumi lima blok gudang.
Usaha sama tersebut, yang diuruskan oleh Knight Frank Malaysia (Knight Frank), akan dimiliki sebanyak 60 peratus oleh Logo dalam syarikat tujuan khas iaitu Global Vision Logistics Sdn Bhd, yang akhirnya akan membeli baki langganan 40 peratus termasuk menjalankan pembangunan projek berkenaan.
Pengarah Urusan Knight Frank, Sarkunan Subramaniam berkata kemudahan bertingkat itu, apabila siap kelak, akan menjadi salah satu hab logistik sehenti terbesar di Malaysia.
Ia direka dengan fleksibiliti bagi memenuhi keperluan pelbagai penyewa, yang menampilkan ciri-ciri jalan masuk, tanjakan dan dok untuk memudahkan pengurusan logistik serta trafik yang cekap.
"Kami amat teruja bahawa ini merupakan JV pertama Logos dalam pasaran perindustrian Malaysia yang dicerminkan melalui projek pembangunan terbesar daripada segi keluasan di seluruh rantau Asia.
"Berdasarkan pengalaman luas dalam mengurus dan membangunkan kemudahan logistik di sembilan negara di rantau ini, kami percaya penyertaan mereka akan membawa pengetahuan teknikal serta operasi dalam membangunkan gudang pelbagai peringkat gred tinggi termasuk melonjak landskap hartanah logistik Malaysia ke peringkat seterusnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pasaran Modal Knight Frank, Allan Sim berkata pelaburan oleh Logos di Malaysia adalah bukti kukuh dan tanda keyakinan oleh pemain logistik antarabangsa dalam pertumbuhan sektor perindustrian tempatan.
"Melalui usaha sama ini, Logos dijangka membawa masuk jumlah pelaburan langsung asing (FDI) melebihi RM1billion ke Selangor," kata Sim, sambil menambah pelaburan berkenaan akan merangsang aktiviti lain dalam pasaran logistik Lembah Klang dan ekonomi Malaysia secara keseluruhannya.
Pembangunan itu adalah tepat pada masanya bagi tujuan menarik dan menangani permintaan serta perhatian yang meningkat daripada syarikat multinational yang ingin meletakkan pusat pengedaran serantau mereka di Malaysia.
"Ia akan menjadi pemangkin positif untuk menarik lebih banyak FDI masuk ke negara ini. Pembangunan ini amat strategik untuk menjadi sebahagian daripada rangkaian kemudahan logistik serantau Logos, memberikan kelebihan tambahan kepada pasaran logistik yang semakin berkembang bagi dimanfaatkan oleh kumpulan penyewa antarabangsa yang terkemuka, yang menjadi pelanggan syarikat," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial