AM

Mesyuarat Menteri Digital ASEAN bermula Isnin dengan mesyuarat pegawai kanan

16/01/2021 04:20 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jan  -- Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Yang Pertama (ADGMIN1) akan bermula pada Isnin dengan didahului, Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Digital ASEAN (ADGSOM1), sekali gus menjadi asas dalam pembentukan semula landskap digital ASEAN, ketika pasca-COVID-19.

Mesyuarat diadakan secara maya bermula dari 18 hingga 22 Jan itu, akan dihoskan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), dari hotel Hilton Kuala Lumpur dan dijangka menguna pakai Pelan Induk Digital ASEAN 2025 (ADM2025).

ADGSOM1 yang akan diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Mohammad Mentek juga akan menyaksikan telesidang dengan rakan dialog - Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan, India, Kesatuan Eropah (EU) - dan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).

Mesyuarat kemudian akan diteruskan dengan ADGMIN1 pada Khamis (21 Jan) yang dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka menyampaikan ucap tamanya, secara maya.

Semasa berlangsungnya ADGMIN1 itu, selain memberi taklimat kepada negara-negara anggota mengenai pencapaian penting hasil kerjasama ICT pada 2020, Malaysia yang menyokong kepada usaha pembangunan ADM2025, akan membentangkan draf ADM2025 untuk dipertimbangan oleh negara-negara anggota.

ADGMIN1 adalah penting ketika pandemik COVID-19 yang mengubah landskap digital ASEAN - serta secara tidak langsung telah mendesak kerajaan, khususnya sektor perniagaan untuk mempercepat peralihan ke arah ekonomi digital.

Terdapat kira-kira 400 juta pengguna internet di rantau ini, yang dihuni 622 juta penduduk dengan ekonomi berkembang pesat yang disasarkan menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang 2030 dengan ekonomi digital, dilihat sebagai pemacu utama pertumbuhan.

ADGMIN1 bertujuan untuk memantapkan kerjasama antara negara-negara ASEAN terhadap pembangunan ekosistem digital sebagai asas kepada rancangan pembangunan pasca pandemik.

Selesai mesyuarat ADGMIN1, para menteri mungkin akan mempertimbangkan untuk menguna pakai Deklarasi Putrajaya mengenai “ASEAN- a Digitally Connected Community (ASEAN - sebuah Komuniti yang Dihubungkan Secara Digital) dan akan mempertimbang serta mengesahkan Kenyataan Media Bersama ADGMIN pertama dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan.

ASEAN, yang ditubuhkan pada 1967, adalah sebuah pertubuhan serantau terdiri daripada 10 negara Asia Tenggara - Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan