AM

Empat individu ditahan disyaki pecah masuk kedai spa

16/01/2021 12:46 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jan – Tiga lelaki yang mempunyai pelbagai rekod jenayah ditahan bersama seorang wanita kerana disyaki terbabit dalam kes pecah masuk kedai spa dan kecantikan di Sri Hartamas melibatkan kerugian RM32,700.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar berkata, tangkapan dibuat susulan laporan seorang wanita berusia 32 tahun pada 2 Jan lepas yang mendakwa kedainya dipecah masuk dan kehilangan pelbagai peralatan serta barangan suntikan vitamin kesihatan.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan di lokasi berasingan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di Damansara, Setapak, Jalan Gombak dan Pekan Ayer Hitam, Kedah dalam operasi dari 8 Jan sehingga semalam.

Katanya, berdasarkan maklumat awal, seorang lelaki berusia 38 tahun yang mempunyai 13 rekod lampau atas kesalahan jenayah dan dadah ditahan di Damansara pada 8 Jan lepas  dan pihak polis merampas sebuah telefon bimbit dan kad bank.

“Suspek mendakwa menyewakan kad bank kepada seorang lelaki dikenaki sebagai Ah Hoo dengan kadar sewa RM1,200 dan suspek telah dibebaskan semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, hari berikutnya polis menahan seorang lelaki berusia 35 tahun yang mempunyai  10 rekod jenayah lampau di Pekan Ayer Hitam, Kedah dan merampas beg, dua buku cek serta dua telefon bimbit.

Katanya lagi, lelaki berkenaan mengaku terbabit dalam kes tersebut dan dituduh di mahkamah semalam mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyimpan barang curi.

“Semalam, seorang wanita dan seorang lelaki masing-masing berusia 33 dan 46 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes ini di Setapak dan Jalan Gombak.

Pelbagai barangan disyaki curi antaranya televisyen, kipas, dapur elektrik, pemanas air, mesin pencuci kereta, penyedut hampagas, beg galas serta pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk pecah kedai turut dirampas,” katanya.

Katanya, suspek wanita mendakwa barang dirampas hasil kegiatan jenayah dilakukan oleh teman lelakinya yang masih bebas manakala suspek lelaki pula mendakwa barang dirampas hasil kegiatan jenayah dilakukan oleh dua lelaki dikenali “Ah Tiong” dan “Ah Boon”.

Katanya, kedua-dua suspek itu direman empat hari sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan menceroboh premis untuk melakukan pecah masuk.

Sementara itu, dalam kes berasingan, dua lelaki berusia 31 dan 34 tahun ditahan kerana disyaki aktif menjalankan jenayah ragut di Jalan PJS 3/22 Taman Seri Manja, Petaling Jaya, pada 2.30 pagi, semalam.

Katanya, kedua-dua suspek masing-masing mempunyai 21 dan 25 rekod pelbagai jenayah kini direman lima hari sehingga 19 Jan untuk siasatan lanjut  kes  mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan melibatkan kesalahan merompak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan